Archive for ‘Aqidah’

February 10, 2011

Henti Sambut Valentine Day

by 2000N

Tarikh 14 Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14 Februari, pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah.

Pasangan-pasangan ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adegan-adegan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya.

Saban tahun juga para ulama mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ia seperti menuang air ke daun keladi. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram. Ia adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom kuno dan juga Kristian.

Sejarah Sambutan Hari Valentine

Bila kita membicarakan tentang sejarah sambutan hari Valentine, maka kita akan dapati bahawa terdapat empat pendapat berkaitan dengannya.

Pendapat pertama mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata.

Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun.

Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih dua pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu.

Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai dua pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ia akan menambahkan kesuburan mereka.

Pendapat kedua mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat dua versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini.

Versi pertama. Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II.

Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari.

Pengorbanan yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya.

Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan From your Valentine (Daripada Valentinemu).

Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.

Versi kedua. Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin.

Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.

Pendapat ketiga. Ia dirayakan sempena kejatuhan kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. Tanggal 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.

– Pendapat keempat. Sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawan burung yang jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.

Di sini kita dapat melihat dengan jelas bahawa asal-usul sambutan Hari Valentine ini tidak ada hubung-kaitnya dengan budaya serta agama bagi umat Islam.

Hukum sambut Valentine

Sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah serta disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Ini sebagaimana yang firman Allah SWT: Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. (al-Hajj: 67)

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri”. (riwayat al-Nasaai, no: 959).

Oleh itu hendaklah umat Islam membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu tiga kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Maulid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Quran dan lain-lain.

Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam. Malah ia berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Tahun Baru Masihi, Hari Halloween dan juga Hari Valentine yang sedang kita perbincangkan ini. Terdapat larangan daripada baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabda baginda: ”Barang siapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka”. (riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512).

Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Sheikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar”.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam”.

Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredai Allah SWT.

Firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar). (al-Baqarah: 120)

January 9, 2011

Kepentingan Memilih Perkataan Yang Baik

by sitihamizah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Firman Allah dalam Surah alBaqarah ayat 103-104

Dan jika mereka beriman dan bertaqwa, pahala dari Allah pasti lebih baik, sekiranya mereka tahu. Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan Ra’ina tapi katakanlah, Unzurna  dan dengarkanlah. Dan orang-orang kafir akan mendapat azab yang pedih

Pada permulaan ayat, Allah menunjukkan progres seorang yang beriman hendaklah beriringan bersamanya pertambahan taqwa. Hamba  yang bertaqwa sentiasa peka dengan akal, hati dan tingkah-lakunya supaya tidak melanggar perkara-perkara yang membawa kepada murka Allah. Allah menjelaskan dalam ayatnya jika mereka beriman bermaksud Allah memberi pilihan sama ada untuk kufur (di dunia yang penuh dengan godaan) atau untuk kekal berpegang teguh pada iman. Maka berbahagialah mereka yang berpegang teguh pada iman kerana Allah dengan jelas dan terang menjamin bahawa ganjaran dari sisi Allah itu tidak terbanding dengan segala kemewahan dan kesenangan dunia. Ganjaran yang istimewa dari sisi Allah itu memang menjadi mainan di mulut manusia. Syurga Allah yang kekal abadi tetapi adakah manusia benar-benar mengetahui? Kita ambil contoh pemandu memandu kereta sangat laju, apabila ditegur sudah pasti dia tahu akan akibat buruknya tapi adakah dia benar-benar tahu? Dia akan tahu dengan sebenar-benar tahu apabila dia sendiri cedera parah dalam kemalangan jalan raya. Pada waktu itu baru mengeluh “Kalau lah aku tahu”, bukankah sudah diingatkan? Jadi manusia hendaklah mengambil perhatian atas peringatan ini.

Kemudian Allah teruskan dengan mengalih perhatian dari bercakap mengenai Bani Israel (ayat 103 dan sebelumnya) dengan bercakap terus kepada orang-orang beriman. Ini adalah signal supaya kita tidak mengulangi tabiat buruk Bani Israel. Allah memberi amaran kepada orang-orang beriman supaya jangan menggunakan perkataan Ra’ina tapi gantikan dengan Unzurna. Ra’ina digunakan apabila orang yang bercakap mahu para hadirin memberi perhatian. Apabila vokal huruf ya dipanjangkan ia bermaksud orang gaji atau orang yang diupah melakukan kerja pembersihan. Orang-orang Bani Isreal suka menggunakan perkataan ini untuk menghina/menyindir orang lain.

Jadi Allah mahu membuang terus tabiat menggunakan perkataan tersebut yang mempunyai dua maksud (satu maksud baik, satu maksud buruk) seperti contoh di atas. Tapi sebaliknya gunakanlah Unzurna yang membawa maksud yang sama untuk tujuan yang sama kerana ia selamat dari dipermain-mainkan perkataan itu.

Allah melarang kita dari bermain-main dengan perkataan. Allah melarang kita menggunakan perkataan yang boleh membawa kepada salah faham walaupun niat asalnya adalah untuk kebaikan. Allah mengingatkan bahawa orang beriman sepatutnya meninggalkan terus penggunaan perkataan seumpamanya dan pilihlah perkataan yang baik apabila berbicara. Kerana jelas bahawa setiap yang keluar dari mulut kita (atau yang tidak keluar dari mulut kita) menggambarkan apa yang ada dalam hati kita, baik atau buruk, bersih atau kotor, iman atau kufur. Sesungguhnya akhlaq adalah buah kepada iman.

Allah menutup ayat 104 dengan mengatakan manusia yang degil untuk menurut perintah ini adalah manusia yang kufur dan pasti azab Allah yang pedih sedia menunggu (semoga kita dilindungi darinya).

WaAllahu a’lam

 

 

May 4, 2010

Hubungan Rukun Islam dan Akhlak (Adab)

by umaralfateh

Bila kita mahu membicarakan sesuatu isu, kita perlu menilai dari segala segi.

Ini membantu kita menilai sesuatu itu dari satu rangka penuh.

Seorang yang melihat kereta dari arah depan, pasti menyagka bahawa ianya hanyalah terdiri dari enjin tempat pemandu serta dua buah roda.

Manakalah seorang yang melihat kereta dari arah tepi akan dapat melihat dua buah tayar depan dan belakang,tempat pemandu , bonet, tempat penumpang.

Jika seorang melihat kereta dari dua-dua arah, maka kesimpulan yang didapati adalah sebuah kereta itu kebiasaannya terdiri dari empat buah kereta, dua di hadapan, dua di belakang, serta mempunya tempat duduk pemandu serta penumpang, dibantu oleh tempat mengisi barang-barang dibahagian belakang. Inilah kesimpulan yang mahu kita ambil dari setiap perkara yang kita hadapi.


Rukun Islam

Rukun islam secara dasarnya adalah manifesati keimanan , kepercayaan kepada Allah, sebagai Pencipta , Pemilik bagi alam ini.

Maka iman yang terhasil membuahkan kekuatan pada lidah mengakui keberadaan Allah, sebagai Tuhan , Yang Berhak Disembah satu-satunya.

Itulah pengakuan Tiada Tuhan Selain Allah, dan Muhammad itu pesuruh/utusan Allah.

Pengakuan seseorang terhadap dua kalimah penyaksian ini memberi kesan yang besar pada jiwa seseorang.

Apabila seseorang telah menyebut dua kalimah ini, maka kita telah berjanji untuk menunaikan hak-hak yang terdapat pada dua kalimah ini.

Pada dasarnya, setiap rukun islam mempunyai tiga dasar :

1. Hubungan dengan Allah

2. Hubungan dengan Diri

3. Hubungan dengan manusia


Apakah Tuntutan Kalimah Penyaksian?

Dua kalimah penyaksian ini memberi erti mendirikan agama (perjalanan hidup) dan bersiasah (berpolitik/mentadbir) dengannya.

Inilah perkara asas yang menjadi dasar bagi 4 rukun islam yang akan disusuli.

Menunaikan Solat

Solat pada dasarnya mempunyai 2 aspek.

1. Hubungan dengan Allah

Hubungan dengan Allah bermaksud kita mendirikan solat sebagai tanda pengakuan kita terhadap pemilikan Allah terhadap jiwa kita.

Kita mengakui bahawa Allah tempat yang hanya satunya berhak disembah dan dicintai , tempat yang berhak untuk diminta , serta hanya satu-satunya tempat hati kita berserah.

2. Hubungan dengan manusia

Hubungan dengan manusia ini dapat dilihat pada pesanan Nabi yang menyuruh ummatnya untuk solat wajib yang 5 di masjid.

Imam al-Bukhari dan Muslim, meriwayatkan di dalam sahih mereka bahawa,

Rasulullah s.a.w pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.

Imam Muslim pula meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah r.a:

Ada seorang lelaki buta telah datang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tidak mempunyai orang yang boleh memimpinnya pergi ke masjid. Oleh itu dia mengharapkan Baginda memberi kelonggaran kepadanya untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Baginda telah membenarkannya, tetapi kemudiannya Baginda menarik balik kebenaran tadi setelah Baginda mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar seruan azan solat yang dikumandangkan di masjid.

Hubungan dengan manusia ini boleh dilihat pada 2 aspek, iaitu pemimpin dan yang dipimpin.

Isu pemimpin di dalam solat adalah seperti imam dan makmum.

Imam perlu memastikan bahawa makmumnya perlu dalam keadaan sedia, barisan yang lurus , dan beberapa lagi aspek sepertimana yang kita maklum.

Bagi makmum, yang berdirinya mereka di dalam barisan-barisan , kita akan bertembung bahu dengan bahu dengan saudara-saudara kita, yang hampir pasti, adakalanya kita langsung tidak mengenali mereka, dan boleh jadi kita mengenali mereka, ada yang berbaju pejabat, ada yang berbaju biasa, ada yang berbaju sukan, berpakaian yang pelbagai, yang dapat kita bau pelbagai bau-bauan sepanjang kita berada di dalam saf-saf ini.

Pertemuan seseorang muslim di masjid untuk menunaikan solat tidak lain tidak bukan akan menambah lagi perkenalan dengan sesama saudara seaqidah, meningkatkan tahap perhubungan kita dengan manusia, sama ada dengan yang kaya atau dengan yang miskin.

Antara perkara yang ditekan sebelum kita menuju ke tempat solat adalah dilarang bagi kita hadir dalam keadaan yang boleh menjejaskan atau mengganggu orang yang hadir sekali, dengan bau yang busuk, mulut yang baru lepas dimasuki oleh makanan yang tahap baunya tinggi,dan apa sahaja keadaan yang tidak menyenangkan orang lain kita dilarang untuk membawanya ke tempat solat didirikan bersama-sama (masjid).

Apabila kita perhatikan apa yang dinyatakan di atas, kita akan dapati bahawa solat ini membawa kita kepada suatu sikap menghormati orang lain sebagaimana kita mahu dihormati, kita akan merasai kesamaan kita dengan semua manusia dalam kita berdiri di dalam satu barisan yang semua jenis manusia berada di dalamnya dan ini membuang sifat angkuh atau bangga diri dalam diri .

Berpuasa di Bulan Ramadhan

Puasa yang kita ketahui , adalah suruhan Allah kepada kita yang mengakui pemilikan Tuhan pada diri kita.

1. Hubungan kita dengan Allah.

Kita berpuasa adalah kerana Allah menyuruh kita berpuasa.

2. Hubungan dengan Diri.

Dengan berpuasa , mudah-mudahan akan meningkatkan ketaqwaan kita. Ini yang Allah sebutkan.

3. Hubungan dengan manusia.

Dengan berpuasa, ia juga mengajar kita bagaimana keadaan golongan yang sukar dalam kehidupan mereka. Kita menghayati bagaimana keperitan apabila tiada makanan disisi.

Kita mengetahui golongan-golongan yang selama ini mungkin tidak pernah berada di fikiran kita, orang-orang miskin , fakir, orang-orang yang berhutang, orang-orang yang cenderung hati mereka kepada Islam, orang -orang yang berada di jalan Allah, hamba-hamba yang ingin memerdekakan diri mereka, orang-ornag yang berada dalam perjalanan.


Pemberian Zakat

Zakat juga kita boleh mambahagikan kepada tiga – hubungan dengan Allah, diri, dan manusia.

Pemberian zakat kerana Allah menyuruh kita, dan dalam masa yang kita ia memberi manfaat pada diri kita dalam membersihkan harta kita.

Dalam pemberian zakat , kita akan melihat keutamaan kita dalam memberi zakat ini, itulah 8 golongan yang Allah sebutkan di dalam surah At-taubah ayat 60.


Menunaikan Haji

1- Hubungan dengan Allah

Allah menyuruh kita.

2 – Hubungan dengan Diri

Merasai sendiri nilai-nilai sejarah mahupun perkara mendatang yang disebutkan di dalam alquran.

Nilai hari kebangkitan, nilai seorang ibu yang bersusah payah mencari air bagi menghilangkan haus anaknya (kisah nabi ismail dan ibunya), dan pelbagai lagi yang kita akan dapat dari haji kepada diri.

3- Hubungan dengan Manusia

Haji adalah tempat perhimpunan ummat islam di satu tempat.

Dengan berhimpunnya suatu ummah di suatu tempat, ini membolehkan kita saling kenal mengenali antara satu sama lain.

Yang datang dari kawasan beriklim sejuk , panas, khatulistiwa, berkulit putih, sawo matang, gelang, pudar-pucat , kekuningan , dengan pelbagai rupa, sikap dan pemikiran.

Semuanya berkumpul di satu tempat. Perkumpulan ini tidak lain akan menyebabkan kita lebih menghargai makna hubungan sesama manusia, tiadanya perbezaan antara kita di sisi Allah melainkan taqwa yang nilai taqwa ini hanya Allah yang berhak tentukan.


Kesimpulan

Jika kita merenung kembali setiap intisari rukun islam ini, ianya tidak lain akan menjuruskan kita kepada suatu kesimpulan kepada kita, akhir dari setiap yang disebutkan dari setiap rukun islam itu, menjurus kepada adab atau akhlak kita kepada sesama manusia.

Jika kita masih ingat pesanan nabi , bahawa baginda diutus adalah bagi menyempurnakan kemuliaan akhlak. Maka kita akan dapat melihat dari pemahaman kita terhadap arahan kepada kita terhadap lima perkara rukun islam ini.

Telah dinyatakan juga di dalam kitab Allah, bahawa pada diri Rasululloh itu suatu contoh ikutanterbaik bagi mereka yang ingin mengharapkan Allah dan hari akhirat.

DEMI sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzab: 21)

Dan jika kita menghayati sebenar-benarnya 5 rukun islam ini, kita akan dapati kehidupan kita penuh dengan rahmat dan nikmat. Jika kita benar-benar memenuhi kehendak-kehendak yang diperlukan dalam setiap dari rukun islam, in sya allah, keredaan Allah akan sentiasa bersama kita.

Sebagai pengakhiran , saya ingin berkongsi sebuah lagi hadis , berkaitan perkara ini

Bab Pertanyaan Mengenai Rukun Islam

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya:

Kami dilarang bertanya sesuatu kepada Rasulullah s.a.w. Maka kami merasa amat bertuah apabila seorang kampung yang cukup bijak datang mengadap Rasulullah s.a.w untuk bertanya kepada baginda di mana kami dapat mendengar perbualannya.

Kemudian datang pula seorang lelaki dari daerah pendalaman lalu bertanya baginda: Wahai Muhammad! Utusanmu telah datang kepada kami dan menyatakan kepada kami bahawa engkau telah diutuskan oleh Allah.

Lalu Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar.

Lelaki tersebut bertanya lagi: Sekiranya benar, siapakah yang menciptakan lagit?

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Allah.

Lelaki tersebut bertanya lagi: Siapakah yang menciptakan bumi?

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Allah.

Kemudian lelaki tersebut bertanya: Siapakah yang menegakkan gunung-ganang dan menjadikannya sebagaimana sekarang?

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Allah.

Lelaki tersebut terus bertanya: Demi Pencipta langit dan bumi serta menegakkan gunung-ganang, adakah Allah yang telah mengutuskanmu?

Rasulullah s.a.w. menjawab dengan bersabda: Ya.

Lelaki itu bertanya lagi: Utusanmu mendakwa bahawa kami wajib mendirikan sembahyang sebanyak lima waktu sehari semalam.

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar.

Lelaki tersebut bertanya lagi: Demi Allah yang mengutusmu, adakah Dia yang mewajibkan perkara ini kepadamu?

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Ya.

Lelaki tersebut bertanya: Utusanmu mendakwa bahawa kami wajib mengeluarkan zakat dari harta kami.

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar.

Lelaki tersebut bertanya lagi: Demi Allah yang mengutusmu, adakah Dia yang mewajibkan perkara ini kepadamu?

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Ya.

Lelaki tersebut berkata lagi: Utusanmu juga mendakwa bahawa kami diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan setiap tahun.

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar.

Lelaki tersebut bertanya lagi: Demi Allah yang mengutusmu, adakah Dia yang mewajibkan perkara ini kepadamu?

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Ya.

Lelaki tersebut berkata lagi: Utusanmu mendakwa bahawa kami wajib mengerjakan Haji di Baitullah, sekiranya berkemampuan.

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar.

Kemudian lelaki tersebut beredar sambil berkata: Demi Allah yang mengutuskanmu dengan kebenaran, aku tidak akan menambah atau mengurangi apa yang telah engkau jelaskan.

Setelah mendengar kata-kata lelaki tersebut, baginda pun bersabda: Sekiranya dia membenarkan sebagaimana yang diucapkannya nescaya dia akan masuk Syurga.

Riwayat :

  • Bukhari – Kitab Ilmu (Hadith no. 61)
  • Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 13)
  • Tirmizi – Kitab Zakat (Hadith no. 562)
  • Nasaie – Kitab Puasa (Hadith no. 2064, 2065 & 2066)
  • Abu Daud – Kitab Sembahyang (Hadith no. 411)
  • Ibnu Majah – Kitab Penempatan (Hadith no. 1392)
  • Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 3 (Muka Surat 168)
  • Ad-Darimi – Kitab Pendahuluan (Hadith no. 648)