Archive for ‘Akhlak’

March 5, 2011

Gambaran Keadaan Manusia Berdosa di Padang Mahsyar

by 2000N

Sekadar renungan bersama, moga ianya menjadi peringatan bagi kita yang sering lalai dan lupa.

Gambaran manusia yg berdosa di Padang Mahsyar

1. Suka menabur fitnah sesama manusia
Berwajah Kera

2. Suka memberi & menerima rasuah
Berwajah Khinzir

3. Hakim yang zalim ketika menjatuhi hukuman
Buta Kedua Belah Mata

4. Suka menunjuk-nunjuk amal ibadat & kebajikan yang dilakukan kepada orang lain .
Pekak Dan Bisu

5. Golongan yang berilmu & mengajar orang lain tetapi perbuatannya sendiri tidak sama dengan apa yang dikatakannya .
Tubuh Yang Mengalir Nanah & Darah Yang Amat Busuk Serta Menikam Lidahnya Berkali-Kali

6. Menjadi saksi tetapi berbohong terhadap kebenaran
Badannya Luka Seperti Dihiris

7. Orang yang kedekut membelanjakan sedikit hartanya untuk kebajikan
Berjalan Terhuyung Hayang Seperti Cacat

8. Orang yang suka bercerita hal-hal dunia didalam masjid
Berjalan Seperti Mabuk

9. Orang-orang pemakan riba
Rupa Badannya Seperti Khinzir

10. Suka menyakiti @ menyusahkan jiran sekeliling
Tidak Bertangan dan Tidak Berkaki

11. Suka mempermudahkan solat & lalai dalam solatnya hingga sering terlupa rukun
Wajah dan Badan Seakan Khinzir

12. Tidak mahu mengeluarkan zakat terhadap dirinya, pendapatannya, terhadap perniagaan & lain-lain zakat
Perut Dipenuhi Ular dan Kalajengking Yang Sering Menyengatnya

13. Melakukan maksiat secara sembunyi-sembunyi
Badannya Sangat Busuk Seperti Bau Bangkai

14. Malas dan jarang mengucap dua kalimah syahadah
Tidak Berlidah Dan Darah Yang Amat Busuk Mengalir Dari Mulut

15. Suka melakukan zina
Berjalan Kaki Keatas Dan Kepala Kebawah, Darah Dan Nanah Sentiasa Mengalir Dari Kemaluan

16. Suka makan harta anak yatim
Muka Hitam Dan Perutnya Dipenuhi Api

17. Orang yang menderhaka kepada kedua orang tuanya
Kulit Dipenuhi Penyakit Sopak Dan Kudis

18. Orang yang suka minum arak @ segala jenis benda yang menghayalkan seperti dadah dan lain2.
Giginya Seperti Tanduk Lembu, Lidah Terjelir Hingga Keperut, Najis & Air Kencingnya Sentiasa Menagalir Keluar Dari Kemaluan

Wallahu a’lam

 

February 16, 2011

Erti Maulidurrasul Dari Abuyah Untuk Kami

by saitusaya

Assalamualaikum wbt.

 

Luahan hari seorang anak perempuan yang solehah tentang abuyahnya yang sudah kembali menghadap Illahi. Ilmu yang ditinggalkan cukup besar. Hayati luahan ini yang mungkin buatkan kita tersedar sejauh mana amalan kita untuk menghadapNya. Mampukah kita mendidik anak-anak kita seperti Abuyah ini mendidik anak-anaknya?

 

Setiap hari sebelum msuk asrama, setiap hari kalau kami balik dari asrama, atau kami telefon rumah, atau arwah abuyah melawat kami di asrama, setiap kali itulah pesanan yg sama akan keluar dari mulutnya, tak pernah tukar ayat (sampai dulu-dulu masa kecil kami bosan dan pernah terpikir, tak ada pesanan lain ke, tapi bila dah besar, baru kami sedar betapa pesanannya itu sentiasa membimbing langkah kami bila dia tiada).

 

“ANAK-ANAK ABUYAH SEMUA.. INGATLAH.. KEJAYAAN KITA YG SEBENAR IALAH APABILA KITA BERJAYA TAAT PERINTAH ALLAH DAN IKUT SUNNAH KEKASIHNYA MUHAMMAD S.A.W.. KITA TAKKAN BAWA RUMAH BESAR, KERETA MEWAH, DUIT MELAMBAK, ATAU SIJIL-SIJIL DALAM KUBUR.. TAPI KITA BAWA AMALAN-AMALAN KITA, SOLAT KITA, ZIKIR KITA, QURAN KITA, SEDEKAH KITA.. MALAIKAT TAKKAN SOAL KITA, BERAPA SPM KAMU, SIAPA IDOLA KAMU, BERAPA GAJI KAMU, BERAPA SIJIL KAMU ADA, BANYAK MANA HARTA KAMU.. TAPI DIA SOAL SOALAN YANG KAMU SEMUA TAHU KAN.. MAN RABBUKA, MAN NABIYYUKA DAN SETERUSNYA.. DAN SIAPA NANTI YANG JAWAB?? AMALAN-AMALAN KITA YG AKAN JAWAB….”

 

Kehidupan kami disusun abuyah dengan indah.. kami bangun seawal 5.30 pagi dengan satu laungan doa yang kuat dari seorang ayah yang berdiri di antara bilik lelaki dan perempuan (alhamdulillahillazii, ahyanaa, ba’damaa, amaatana wa ilaihinnusyur) dan kami dalam keadaan terpisat-pisat wajib mengikut bacaan doa, mata jadi segar sikit, yang tertidur balik confirm kena baling dengan bantal.. huhu (aku pernah kena).. dari no 1-no 9, tiada yang terkecuali, bergilir mengambil wudhu’ dan khidmat diri, mata yang mengantuk terpaksa dibuka, yang dalam bilik air ada yg tersengguk-sengguk ,maklumlah kecil lagi.. budak lain waktu ni tidur lagi, abuyah yang baru saja usai solat sunat tahajjud datang tengok progress, bergerak tak line.. tak gerak ada yang kena sound. “cepat-cepat.. yang dah sudah pergi solat sunat dulu, baca quran ke.. zikir ke..”. kami yang perempuan masuk dapur, jerang air, siapkan bahan breakfast.. bila semua yang lelaki dah keluar pergi masjid baru kami bergilir.. maklumlah lelaki 6org, perempuan 3 ketul jer.. abuyah didik yang lelaki solat berjemaah masjid dari kecil menyebabkan adik-adikku yang lelaki tak pernah solat di rumah.. buyah kata sunnah laki solat di msjid.. hinggakan ada satu kali tu, adikku ting.2, kami terlupa kejut solat asar, menangis depanku.. kerana terlepas solat berjemaah di masjid, walaupun terlewat dia tetap pergi masjid. aku cakap takpe je.. dia kata takleh.. abuyah kata sunnah solat di masjid.. aku sebak mendengarnya..

 

Start 6.30 pagi bermula agenda wajib- ta’lim10 minit. Abuyah sajikan hati-hati kami setiap pagi dengan hadis-hadis nabi dan kisah-kisah sahabat dari kitab fadhail a’mal- krgn maulana zakariya, kemudian mangaji sampai jam 7.20. Yang kecil abuyah ajar.. yang besar abuyah suruh menghafal surah-surah penting.. Abuyah kata, abuyah nak anak-anak dia jadi huffazul quran.. hari cuti kmi menngaji lebih lama.. hingga jam 8.. kadang-kadang nak lari kami buat alasan nak pergi buang air, huhu.. jahatnya dulu.. lepas sarapan, kalau hari sekolah, kami pergi sekolah.. tapi hari cuti paling kami takut-kena tasmi’ surah yang dihafal.. tak dapat kena ROTAN! Rotan panjang sedepa.. mana tak cuak..

Then lepas tasmi’ makan ramai-ramai dalam dulang.. Buyah kata makan dalam dulang sunnah.. Dan berkat..Kami pun makan.. then study.. Abuyah ajar sorang-sorang (kalau buyah tak kerja).. semua subjek buyah boleh ajar.. sampai kami faham.. lepas makan dan solat zohor, kami WAJIB TIDUR SAMPAI ASAR!

 

Lepas solat asar abuyah ajak kami riadah.. buyah main dengan kami.. buyah ajar kami main ping pong, karom, takraw, badminton.. sampai kami besar abuyah still main dengan kami.. bila malam lepas makan, kami ta’lim lagi.. kali ni lebih lama. Dan buyah ajar kami cara hidup Nabi MUHAMMAD S.A.W.. dari bangun tidur sampai tidur balik.. Setiap malam ulang benda yang sama.. kami bosan masa kecik-kecil.. tapi bila besar sikit, kami sedar.. kami hafal apa yang buyah ajar.. dan kami amalkan..

Arwah abuyah kata- “SAMBUTAN MAULIDURRASUL SEPATUTNYA HARI-HARI DALAM KEHIDUPAN KITA.. NABI KAN PERNAH BERKATA BARANGSIAPA YANG MENGHIDUPKAN SUNNAHKU DI AKHIR ZAMAN, MAKA DIA SEOLAH-OLAH MENGHIDUPKAN AKU..”

 

Abuyah ajar kami segala-galanya.. Abuyah pupukkan kami rasa cinta pada nabi.. Abuyah buat kami sedar

“KEJAYAAN YANG SEBENAR ADALAH APABILA KITA BERJAYA TAAT PERINTAH ALLAH DAN IKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W..”

 

Abuyah pergi selepas abuyah selesaikan tugasnya di dunia, mendidik kesembilan-sembilan anaknya dengan sebenar-benar didikan.. Abuyah lahir abuyah dengar azan dan iqamat, abuyah pergi dengan lafaz teragung “LAAILAHAILLALLAH MUHAMMADURRASULULLAH..”- Alhamdulillah.. 16hb ni genap setahun abuyah meninggal.. Tapi abuyah sebenarnya tak pernah tinggalkan kami.. kami takkan biarkan kubur abuyah gelap sikit pun.. sbb kami akan amalkan segala sunnah yang abuyah ajar pada kami.. moga kubur buyah akan menjadi kubur yang paling bercahaya.. amiin..

 

~p/s: buyah. buyah. athiyahkan ada exam syafawi- 30 juzu’ rabu ni.. 16hb.. Dia menangis sebab tarikh dia exam sama dengan tarikh abuyah meninggal.. lemah semangat sikit kot.. Doakn ye yah.. Assalamualaikum abuyah..

 

ALLAHUMMA SOLLI A’LA SAIDINA MUHAMMAD~~

 

–Terkedu seketika–

January 9, 2011

Kepentingan Memilih Perkataan Yang Baik

by sitihamizah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Firman Allah dalam Surah alBaqarah ayat 103-104

Dan jika mereka beriman dan bertaqwa, pahala dari Allah pasti lebih baik, sekiranya mereka tahu. Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan Ra’ina tapi katakanlah, Unzurna  dan dengarkanlah. Dan orang-orang kafir akan mendapat azab yang pedih

Pada permulaan ayat, Allah menunjukkan progres seorang yang beriman hendaklah beriringan bersamanya pertambahan taqwa. Hamba  yang bertaqwa sentiasa peka dengan akal, hati dan tingkah-lakunya supaya tidak melanggar perkara-perkara yang membawa kepada murka Allah. Allah menjelaskan dalam ayatnya jika mereka beriman bermaksud Allah memberi pilihan sama ada untuk kufur (di dunia yang penuh dengan godaan) atau untuk kekal berpegang teguh pada iman. Maka berbahagialah mereka yang berpegang teguh pada iman kerana Allah dengan jelas dan terang menjamin bahawa ganjaran dari sisi Allah itu tidak terbanding dengan segala kemewahan dan kesenangan dunia. Ganjaran yang istimewa dari sisi Allah itu memang menjadi mainan di mulut manusia. Syurga Allah yang kekal abadi tetapi adakah manusia benar-benar mengetahui? Kita ambil contoh pemandu memandu kereta sangat laju, apabila ditegur sudah pasti dia tahu akan akibat buruknya tapi adakah dia benar-benar tahu? Dia akan tahu dengan sebenar-benar tahu apabila dia sendiri cedera parah dalam kemalangan jalan raya. Pada waktu itu baru mengeluh “Kalau lah aku tahu”, bukankah sudah diingatkan? Jadi manusia hendaklah mengambil perhatian atas peringatan ini.

Kemudian Allah teruskan dengan mengalih perhatian dari bercakap mengenai Bani Israel (ayat 103 dan sebelumnya) dengan bercakap terus kepada orang-orang beriman. Ini adalah signal supaya kita tidak mengulangi tabiat buruk Bani Israel. Allah memberi amaran kepada orang-orang beriman supaya jangan menggunakan perkataan Ra’ina tapi gantikan dengan Unzurna. Ra’ina digunakan apabila orang yang bercakap mahu para hadirin memberi perhatian. Apabila vokal huruf ya dipanjangkan ia bermaksud orang gaji atau orang yang diupah melakukan kerja pembersihan. Orang-orang Bani Isreal suka menggunakan perkataan ini untuk menghina/menyindir orang lain.

Jadi Allah mahu membuang terus tabiat menggunakan perkataan tersebut yang mempunyai dua maksud (satu maksud baik, satu maksud buruk) seperti contoh di atas. Tapi sebaliknya gunakanlah Unzurna yang membawa maksud yang sama untuk tujuan yang sama kerana ia selamat dari dipermain-mainkan perkataan itu.

Allah melarang kita dari bermain-main dengan perkataan. Allah melarang kita menggunakan perkataan yang boleh membawa kepada salah faham walaupun niat asalnya adalah untuk kebaikan. Allah mengingatkan bahawa orang beriman sepatutnya meninggalkan terus penggunaan perkataan seumpamanya dan pilihlah perkataan yang baik apabila berbicara. Kerana jelas bahawa setiap yang keluar dari mulut kita (atau yang tidak keluar dari mulut kita) menggambarkan apa yang ada dalam hati kita, baik atau buruk, bersih atau kotor, iman atau kufur. Sesungguhnya akhlaq adalah buah kepada iman.

Allah menutup ayat 104 dengan mengatakan manusia yang degil untuk menurut perintah ini adalah manusia yang kufur dan pasti azab Allah yang pedih sedia menunggu (semoga kita dilindungi darinya).

WaAllahu a’lam

 

 

December 23, 2010

Anak Kecil

by saitusaya

Assalamualaikum wbt.

Anak kecil adalah insan yang paling suci yang diciptakan oleh Allah ketika dilahirkan dari perut ibunya. Semua anak kecil secara fitrahnya adalah suci, sesuci kain putih, dan bergantung kepada ibu bapanya yang mencorakkan menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Semua orang pun sudah biasa dengan hadis Rasulullah S.A.W tentang anak kecil ini.

Namun pendidikan zaman moden sekarang ini tidak macam zaman saya kecil dahulu. Zaman saya kecil, kami diajar dengan mengaji Al-Quran bersama ustaz-ustaz yang boleh tahan garangnya. Bukan setakat muka mereka sahaja garang, bahkan di tangan siap ada rotan buluh. Bukan boleh main-main ketika membaca kalam suci Tuhan Yang Maha Agung itu. Bermula dengan kitab IQRA yang berjilid itu, kemudian berpindah ke muqaddam dan naik lagi ke Al-Quran. Pengajaran berperingkat seperti itu lebih mendekatkan anak kecil dengan ayat-ayat suci Al-Quran. Itu zaman saya kecil dahulu. Tapi sekarang, saya kurang nampak perkara ini ditekankan kepada anak kecil. Hanya segelintir yang masih menerapkan amalan ini kepada anak mereka, bermaksud, mengikut inisiatif mereka sendiri.

Sel neuron terbentuk ketika di dalam rahim ibu lagi. Setiap ibu digalakkan untuk membaca Al-Quran atau mendengarnya agar anak yang lahir nanti biasa dengan ayat-ayat suci Al-Quran. Ditambah pula dengan latihan-latihan yang menguji minda supaya dengan izin Allah mereka menjadi anak-anak yang bijak pandai. Dan apabila mereka lahir, azanilah atau iqamahkanlah mereka agar kalimat yang pertama kerema dengar adalah kalimat yang memuji Allah S.W.T. Kemudian biasakanlah mendodoi mereka dengan selawat-selawat Nabi. Dan berilah mereka makanan yang seimbang dari sumber yang halal. Usahlah beri makanan ringan terlalu banyak kepada anak-anak kecil kerana ianya akan mengganggu sistem tumbesaran mereka dan boleh menyebabkan mereka mengalami kegemukan jika pemakanan mereka tidak dikawal.

Bagi mendidik anak pula, cara terbaik adalah kenalkan mereka dengan Pencipta mereka. Allah S.W.T. Itulah yang diterapkan oleh Luqman Al Hakim dalam Surah Luqman ayat 13. Kita tak perlu risau jika anak-anak kita tidak boleh menyebut “Abah, Papa, Abi, Ayah, Umi, Mama, Ibu” atau selainnya tapi risaulah kita jika mereka tidak mengenal Allah. Perlahan-lahanlah beritahu mereka siapa yang menciptakan mereka dan sekelian alam semesta ini.

Dan apabila mereka besar sedikit, ajarilah mereka ayat-ayat Al-Quran yang senang-senang yang boleh mengajar mereka tentang kehidupan. Contohnya Surah Al-‘Asr. Surah itu mengajar mereka agar sentiasa menghargai masa dalam apa keadaan sekalipun. Dan ajarilah mereka solat dan bacaan-bacaan di dalamnya. Ketika mereka telah sampai umur 7 tahun, jika mereka tidak mahu solat, pukullah yang sekadarnya agar mereka belajar dari kesilapan.

Pendidikan yang bagus bermula dari rumah. Sebagai persediaan menghadapi cabaran yang pelbagai di sekolah nanti. Di sekolah lah mereka akan berjumpa dengan berbagai-bagai ragam manusia dengan pelbagai jenis perangai dan fi’il. Jadi mereka perlu diberi persediaan untuk menghadapi ujian yang agak besar bagi peringkat umur mereka ketika itu.

 

Jadilah ibu bapa yang juga pemimpin kepada anak-anak. Tuntunilah mereka supaya mereka tidak tersasar di dunia yang fana ini. Insyaallah kita terpilih dan anak-anak kecil kita juga terpilih.

Jika mempunyai anak nanti, insyaallah saya ingin menerapkan pada mereka semua  nilai-nilai yang pernah saya dapat dahulu sewaktu saya kecil agar mereka lebih bersedia menempuhi dugaan hidup yang makin hari makin pelik intipatinya. Lagi-lagi sekarang ini makin bertambah perangai manusia yang makin pelik dan sejahil zaman jahiliyyah dahulu. Kalaupun kita tidak dapat menakluk dunia dengan Islam, semoga anak-anak kecil kita nanti yang mewarisi perjuangan kita Insyaallah.

Wallahu a’lam.

November 14, 2010

Senyum

by sitihamizah

Senyum adalah amalan baik yang paling mudah dilakukan namun tidak ramai yang mudah melemparkan senyuman. Wajah yang ceria dihiasi senyuman dapat merawat hati yang resah dan menjadi penyejuk mata apabila ditatap wajah pemilik senyuman. Begitulah personaliti Muhammad Rasulullah sallallhu alaihi wasallam. Sesiapa yang terlihat wajahnya tidak mahu melepaskan pandangan darinya kerana wajahnya yang terukir senyuman menjadi penawar hati. Rasulullah SAW tersenyum apabila:

(1) bercerita tentang belas kasihan dan kasih sayang Allah kepada hamba-hambaNya. Kurniaan Allah terlalu banyak tidak terhitung namun manusia selalu ingat apa yang dia tidak peroleh. Cukupkah kita bersyukur dengan setiap kurniaan Allah yang menjamin kelangsungan hidup dan iman kita?

Hadis dari Abu Dzar radiallahu anhu, beliau meriwayatkan apabila Rasulullah SAW bercakap tentang akhirat, tentang balasan syurga, tentang orang yang terakhir masuk ke syurga, tentang orang terakhir keluar dari neraka, salah seorang dari mereka ada seorang lelaki, lelaki itu dibawa ke hadapan Allah, Allah mengarahkan hanya dosa kecilnya dibentangkan, dosa besar disembunyikan, lelaki tersebut bersetuju dengan semua dosa-dosanya. Kemudian Allah mengarahkan semua dosanya ditukarkan kepada kebaikan lalu lelaki itu berkata, “Allah, ada lagi dosaku yang lain yang Engkau tidak tengok, bawalah kesemuanya untuk diperiksa”. Tetapi Allah dengan kasih sayangnya mengabaikan saja dosa-dosanya yang lain.

Wajah Rasulullah SAW terukir senyuman apabila bercerita kisah tersebut.

(2) bercerita tentang restu Allah kepada Rasulullah SAW dan umatnya. Wajah baginda SAW ceria apabila bercerita kurniaan keluarga, keamanan, kesenangan, harta, ilmu dll. Baginda SAW tersenyum gembira dengan kelahiran cucu-cucu baginda Hassan dan Husain.

Dari Anas bin Malik r.a., beliau menceritakan pada satu waktu Rasulullah SAW menerima wahyu, selepas selesai penerimaan wahyu baginda SAW senyum (walaupun penerimaan wahyu itu adalah berat). Para sahabat bertanya, “Mengapa engkau tersenyum wahai Rasulullah?”. Kemudian baginda SAW membacakan wahyu tersebut iaitu Surah alKausar (iaitu nikmat yang hanya diberikan kepada umat Muhammad SAW)

(3) berada di kalangan ahli keluarga.

Dari Aishah radiallahu anha berkata, “Rasulullah tidak pernah masuk rumah kecuali dengan senyuman”.

Baginda SAW menyapa keluarga dengan senyuman, walaupun baru pulang dari dunia yang sentiasa cuba menyakiti baginda SAW, Rasulullah SAW meninggalkan segala keresahannya di luar rumah dan pulang dengan senyuman. Baginda SAW juga gemar bergurau dengan ahli keluarganya.

Dari Aishah r.a. beliau menceritakan Rasulullah masuk bertemu beliau yang ketika itu sedang bermain patung mainan. Rasulullah SAW bertanya, “Apa yang sedang kau lakukan?”, jawab Aishah, “Aku sedang bermain”, balas baginda SAW, “Tapi kau ada kuda yang bersayap, tidak pernah aku tahu ada kuda yang bersayap”. Aishah bertanya, “Wahai Rasulullah, tidak pernahkah kau dengar yang Sulaiman a.s. ada kuda bersayap?”. Baginda SAW tersenyum mendengar soalan Aishah.

(4) bertemu dengan semua ahli komuniti. Rasulullah SAW sebagai pemimpin sentiasa menyambut penduduk Madinah yang datang kepadanya dengan berbagai-bagai kerenah.

Diceritakan dari seorang Arab Badwi, “Aku tidak pernah jumpa Rasulullah SAW kecuali dengan senyuman”

(5) memberi nasihat dan melihat gelagat para sahabatnya.

Diceritakan pada satu waktu bandar Madinah dilanda kemarau teruk. Para sahabat meminta Rasulullah SAW berdoa supaya diturunkan hujan. Doa baginda SAW dimaqbulkan dan hujan turun dengan banyak dan lama. Selepas beberapa waktu, mereka datang kembali berkata, “Wahai Rasulullah, mintalah diberhentikan hujan kerana ia merosakkan tanaman kami dan rumah kami”. Rasulullah SAW tersenyum apabila melihat gelagat mereka yang bertukar-tukar kehendaknya.

(6) ada ancaman yang perlu dielak. Senyuman dapat melunakkan dan melembutkan hati sekaligus mengelak dari ancaman buruk.

Diceritakan Aishah r.a. rumah mereka didatangi seorang munafiq dan Rasulullah SAW berkata dari dalam rumah, “Sesungguhnya lelaki ini sangat keji”. Apabila dia masuk ke rumah, baginda SAW menyambutnya dengan penuh ceria.

Namun begitu, ketawa dan gelak berlebihan akan mematikan hati. Orang lain juga tidak akan memandang berat orang gelak berlebihan apabila dia serius. Baginda SAW berpesan, “Berhati-hati dengan gelak berlebihan kerana ia akan menyebabkan hati mati”. Ketika Rasulullah SAW terhibur, baginda tersenyum lebar dari biasa sehingga menampakkan gigi molarnya.

Senyum dan ceria selalu.

May 12, 2010

Mengenali penyakit hati

by saitusaya

Assalamualaikum wbt.

Setiap daripada manusia memiliki hati. Namun tidak semua mempunyai hati yang bersih dan sihat dari penyakitnya. Contoh penyakit hati yang sering melanda diri manusia itu adalah hasad dengki, takabbur dan sebagainya. Tapi hati yang disebut-sebut itu, di manakah ia? Lokasi sebenar hati itu mana letaknya? Apakah makna sebenar segumpal daging yang dimaksudkan oleh Rasulullah dalam hadis ke-6 dari Hadis 40?

Walaupun pokok perbincangan hadis tersebut amat besar, tapi ianya berkaitan dengan segumpal daging yang disebut sebagai Al-Qalb. Apakah definisi Al-Qalb itu? Menurut Imam Ghazali dalam hasil karya beliau bertajuk Ma’arij Al-Qudsi fi Madariji Ma’rifatin Nafsi, maksud Al-Qalb itu ada dua:

  • Segumpal daging berbentuk satu genggaman manusia yang diletakkan di sebelah kiri dalam rongga dada (thoracic cavity) dan boleh dilihat secara jelas. Dari situ kita dapat mengetahui bahawa Al-Qalb yang dinyatakan adalah sumber oksigen kepada tubuh dan juga organ penting untuk manusia dan haiwan, iaitu jantung. Ianya juga membawa maksud, jika rosak Al-Qalb ini, maka rosaklah seluruh tubuh manusia atau haiwan itu. Jadi ini dapat disimpulkan bahawa Al-Qalb itu membawa makna jantung.
  • Secara abstraknya, Al-Qalb itu membawa maksud ruh (jiwa manusia) dan tidak boleh disentuh sepertimana jantung yang diterangkan pada makna sebelumnya. Ruh inilah yang membawa amanat dari Allah SWT. Ruh ini jugalah yang menyatakan kesanggupan untuk mengenal tauhid dengan mengakui keesaan Allah SWT sewaktu mula-mula ia diciptakan, sepertimana dalam Surah Al-A’raf ayat 172:

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuban kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengata- kan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)

Bagaimana pula peranan syaitan dalam penyakit hati manusia ini? Dalam satu hadis diriwayatkan oleh Muttafaqun Alaih, Rasulullah SAW bersabda: ” Sesungguhnya Syaitan itu meresap ke dalam diri manusia seperti mengalirnya darah dalam tubuhnya”

Jalan syaitan  untuk menyelinap ke dalam hati manusia:

1. Marah

Marah adalah pintu yang paling mudah untuk syaitan menyelinap ke dalam hati manusia. Sifat marah yang meluap-luap mampu menutup sifat kewarasan akal. Apabila kewarasan akal dikaburi dengan marah, sebarang tindakan yang diambil adalah tindakan yang merugikan diri sendiri. Seorang wali Allah bertanya kepada Iblis: Bagaimana engkau menawan anak Adam? Iblis menjawab: Aku tawan dia ketika dia marah dan ketika ia bernafsu.

2. Nafsu

Nafsu bukan sahaja terdiri daripada nafsu syahwat, tetapi juga nafsu terhadap makanan, berjual-beli, mengumpul harta dan sebagainya. Syaitan menawan hati manusia ini melalui pintu nafsu yang tidak terjaga. Jadi, untuk mengelakkannya, manusia itu perlu menjaga kehormatan dirinya dan memelihara nafsunya supaya tidak terjerumus kepada hasutan syaitan.

Surah Al-Mukminun ayat 5 – ” Dan mereka yang menjaga kehormatan dirinya.” Iaitu antara ciri orang beriman yang berjaya adalah yang menjaga kehormatan dirinya.

3. Tergesa-gesa

Manusia ini sinonim dengan tergesa-gesa seperti dalam surah Al-Isra’ ayat 11, “Dan manusia berdoa dengan (memohohn supaya dia ditimpa) kejahatan sebagaimana dia berdoa dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu tergesa-gesa.”

Sifat tergesa-gesa menyebabkan seseorang itu terjebak dalam kesusahan dan syubhat. Namun, manusia itu mampu mengawal sikapnya dengan sifat berhati-hati. Dan berhati-hati itu datangnya dari Allah SWT.

4. Hasad dengki

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda, “Penyakit umat sebelum kamu telah menular kepada kamu iaitu hasad dengki dan permusuhan. Permusuhan itu ialah pengikis dan pencukur. Saya tidak maksudkan mencukur rambut tetapi ia mengikis agama.”

Hasad dengki boleh mengikis Iman seseorang jika ia tidak sedar dengan cepat. Dan sifat dengki ini juga mampu mengkucar-kacirkan suatu komuniti jika tidak ditangani dengan bijaksana.

5. Kikir

Kikir ini menghalang manusia berbuat kebaikan dan sedia berkorban. Terutama berkorban harta dan tenaga untuk jalan Allah SWT. Dalam surah Al-Baqarah ayat 268 Allah menyebut tentang sifat kikir ini :

“Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir); sedang Allah menjanjikan untukmu ampunan daripada-Nya dan karunia. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”

6. Takabbur

Ini adalah sifat yang menyebabkan syaitan digugurkan darjat oleh Allah SWT hanya kerana tidak mahu sujud kepada Nabi Adam di saat Nabi Adam diciptakan. Ia merasakan dirinya jauh lebih mulia kerana dijadikan daripada api sedangkan Nabi Adam hanya dari tanah. Jika sifat ini terbina dalam diri seorang manusia, ia amatlah berbahaya kerana ia akan merasakan dirinya lebih mulia dari orang lain dan amat susah untuk menerima kebenaran.

7. Buruk sangka

Berbahaya sungguh sifat buruk sangka atau lebih dikenali dalam bahasa arab sebagai Suu Zhon. Ini menghalang terbentuknya ukhwah islamiyyah dan mahabbah antara Muslim. Dan ianya juga punca tersebarnya fitnah yang akhirnya mencetuskan perbalahan sesama manusia. Kita kena menghindari sifat buruk sangka ini supaya ukhwah dapat terjalin dengan utuh.

Surah Hujuraat ayat 12 :

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yaang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati. Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”

Kesimpulannya, si pemilik hati ini kena bertanya kepada hati mereka sama ada hati mereka itu sakit atau tidak. Dan penawar kepada penyakit hati adalah kembali kepada Rabbnya. Nescaya hati yang gundah akan kembali tenang.

Surah Ar-Ra’d ayat 28 : (Yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.

Wallahu a’lam

May 4, 2010

Hubungan Rukun Islam dan Akhlak (Adab)

by umaralfateh

Bila kita mahu membicarakan sesuatu isu, kita perlu menilai dari segala segi.

Ini membantu kita menilai sesuatu itu dari satu rangka penuh.

Seorang yang melihat kereta dari arah depan, pasti menyagka bahawa ianya hanyalah terdiri dari enjin tempat pemandu serta dua buah roda.

Manakalah seorang yang melihat kereta dari arah tepi akan dapat melihat dua buah tayar depan dan belakang,tempat pemandu , bonet, tempat penumpang.

Jika seorang melihat kereta dari dua-dua arah, maka kesimpulan yang didapati adalah sebuah kereta itu kebiasaannya terdiri dari empat buah kereta, dua di hadapan, dua di belakang, serta mempunya tempat duduk pemandu serta penumpang, dibantu oleh tempat mengisi barang-barang dibahagian belakang. Inilah kesimpulan yang mahu kita ambil dari setiap perkara yang kita hadapi.


Rukun Islam

Rukun islam secara dasarnya adalah manifesati keimanan , kepercayaan kepada Allah, sebagai Pencipta , Pemilik bagi alam ini.

Maka iman yang terhasil membuahkan kekuatan pada lidah mengakui keberadaan Allah, sebagai Tuhan , Yang Berhak Disembah satu-satunya.

Itulah pengakuan Tiada Tuhan Selain Allah, dan Muhammad itu pesuruh/utusan Allah.

Pengakuan seseorang terhadap dua kalimah penyaksian ini memberi kesan yang besar pada jiwa seseorang.

Apabila seseorang telah menyebut dua kalimah ini, maka kita telah berjanji untuk menunaikan hak-hak yang terdapat pada dua kalimah ini.

Pada dasarnya, setiap rukun islam mempunyai tiga dasar :

1. Hubungan dengan Allah

2. Hubungan dengan Diri

3. Hubungan dengan manusia


Apakah Tuntutan Kalimah Penyaksian?

Dua kalimah penyaksian ini memberi erti mendirikan agama (perjalanan hidup) dan bersiasah (berpolitik/mentadbir) dengannya.

Inilah perkara asas yang menjadi dasar bagi 4 rukun islam yang akan disusuli.

Menunaikan Solat

Solat pada dasarnya mempunyai 2 aspek.

1. Hubungan dengan Allah

Hubungan dengan Allah bermaksud kita mendirikan solat sebagai tanda pengakuan kita terhadap pemilikan Allah terhadap jiwa kita.

Kita mengakui bahawa Allah tempat yang hanya satunya berhak disembah dan dicintai , tempat yang berhak untuk diminta , serta hanya satu-satunya tempat hati kita berserah.

2. Hubungan dengan manusia

Hubungan dengan manusia ini dapat dilihat pada pesanan Nabi yang menyuruh ummatnya untuk solat wajib yang 5 di masjid.

Imam al-Bukhari dan Muslim, meriwayatkan di dalam sahih mereka bahawa,

Rasulullah s.a.w pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.

Imam Muslim pula meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah r.a:

Ada seorang lelaki buta telah datang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tidak mempunyai orang yang boleh memimpinnya pergi ke masjid. Oleh itu dia mengharapkan Baginda memberi kelonggaran kepadanya untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Baginda telah membenarkannya, tetapi kemudiannya Baginda menarik balik kebenaran tadi setelah Baginda mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar seruan azan solat yang dikumandangkan di masjid.

Hubungan dengan manusia ini boleh dilihat pada 2 aspek, iaitu pemimpin dan yang dipimpin.

Isu pemimpin di dalam solat adalah seperti imam dan makmum.

Imam perlu memastikan bahawa makmumnya perlu dalam keadaan sedia, barisan yang lurus , dan beberapa lagi aspek sepertimana yang kita maklum.

Bagi makmum, yang berdirinya mereka di dalam barisan-barisan , kita akan bertembung bahu dengan bahu dengan saudara-saudara kita, yang hampir pasti, adakalanya kita langsung tidak mengenali mereka, dan boleh jadi kita mengenali mereka, ada yang berbaju pejabat, ada yang berbaju biasa, ada yang berbaju sukan, berpakaian yang pelbagai, yang dapat kita bau pelbagai bau-bauan sepanjang kita berada di dalam saf-saf ini.

Pertemuan seseorang muslim di masjid untuk menunaikan solat tidak lain tidak bukan akan menambah lagi perkenalan dengan sesama saudara seaqidah, meningkatkan tahap perhubungan kita dengan manusia, sama ada dengan yang kaya atau dengan yang miskin.

Antara perkara yang ditekan sebelum kita menuju ke tempat solat adalah dilarang bagi kita hadir dalam keadaan yang boleh menjejaskan atau mengganggu orang yang hadir sekali, dengan bau yang busuk, mulut yang baru lepas dimasuki oleh makanan yang tahap baunya tinggi,dan apa sahaja keadaan yang tidak menyenangkan orang lain kita dilarang untuk membawanya ke tempat solat didirikan bersama-sama (masjid).

Apabila kita perhatikan apa yang dinyatakan di atas, kita akan dapati bahawa solat ini membawa kita kepada suatu sikap menghormati orang lain sebagaimana kita mahu dihormati, kita akan merasai kesamaan kita dengan semua manusia dalam kita berdiri di dalam satu barisan yang semua jenis manusia berada di dalamnya dan ini membuang sifat angkuh atau bangga diri dalam diri .

Berpuasa di Bulan Ramadhan

Puasa yang kita ketahui , adalah suruhan Allah kepada kita yang mengakui pemilikan Tuhan pada diri kita.

1. Hubungan kita dengan Allah.

Kita berpuasa adalah kerana Allah menyuruh kita berpuasa.

2. Hubungan dengan Diri.

Dengan berpuasa , mudah-mudahan akan meningkatkan ketaqwaan kita. Ini yang Allah sebutkan.

3. Hubungan dengan manusia.

Dengan berpuasa, ia juga mengajar kita bagaimana keadaan golongan yang sukar dalam kehidupan mereka. Kita menghayati bagaimana keperitan apabila tiada makanan disisi.

Kita mengetahui golongan-golongan yang selama ini mungkin tidak pernah berada di fikiran kita, orang-orang miskin , fakir, orang-orang yang berhutang, orang-orang yang cenderung hati mereka kepada Islam, orang -orang yang berada di jalan Allah, hamba-hamba yang ingin memerdekakan diri mereka, orang-ornag yang berada dalam perjalanan.


Pemberian Zakat

Zakat juga kita boleh mambahagikan kepada tiga – hubungan dengan Allah, diri, dan manusia.

Pemberian zakat kerana Allah menyuruh kita, dan dalam masa yang kita ia memberi manfaat pada diri kita dalam membersihkan harta kita.

Dalam pemberian zakat , kita akan melihat keutamaan kita dalam memberi zakat ini, itulah 8 golongan yang Allah sebutkan di dalam surah At-taubah ayat 60.


Menunaikan Haji

1- Hubungan dengan Allah

Allah menyuruh kita.

2 – Hubungan dengan Diri

Merasai sendiri nilai-nilai sejarah mahupun perkara mendatang yang disebutkan di dalam alquran.

Nilai hari kebangkitan, nilai seorang ibu yang bersusah payah mencari air bagi menghilangkan haus anaknya (kisah nabi ismail dan ibunya), dan pelbagai lagi yang kita akan dapat dari haji kepada diri.

3- Hubungan dengan Manusia

Haji adalah tempat perhimpunan ummat islam di satu tempat.

Dengan berhimpunnya suatu ummah di suatu tempat, ini membolehkan kita saling kenal mengenali antara satu sama lain.

Yang datang dari kawasan beriklim sejuk , panas, khatulistiwa, berkulit putih, sawo matang, gelang, pudar-pucat , kekuningan , dengan pelbagai rupa, sikap dan pemikiran.

Semuanya berkumpul di satu tempat. Perkumpulan ini tidak lain akan menyebabkan kita lebih menghargai makna hubungan sesama manusia, tiadanya perbezaan antara kita di sisi Allah melainkan taqwa yang nilai taqwa ini hanya Allah yang berhak tentukan.


Kesimpulan

Jika kita merenung kembali setiap intisari rukun islam ini, ianya tidak lain akan menjuruskan kita kepada suatu kesimpulan kepada kita, akhir dari setiap yang disebutkan dari setiap rukun islam itu, menjurus kepada adab atau akhlak kita kepada sesama manusia.

Jika kita masih ingat pesanan nabi , bahawa baginda diutus adalah bagi menyempurnakan kemuliaan akhlak. Maka kita akan dapat melihat dari pemahaman kita terhadap arahan kepada kita terhadap lima perkara rukun islam ini.

Telah dinyatakan juga di dalam kitab Allah, bahawa pada diri Rasululloh itu suatu contoh ikutanterbaik bagi mereka yang ingin mengharapkan Allah dan hari akhirat.

DEMI sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzab: 21)

Dan jika kita menghayati sebenar-benarnya 5 rukun islam ini, kita akan dapati kehidupan kita penuh dengan rahmat dan nikmat. Jika kita benar-benar memenuhi kehendak-kehendak yang diperlukan dalam setiap dari rukun islam, in sya allah, keredaan Allah akan sentiasa bersama kita.

Sebagai pengakhiran , saya ingin berkongsi sebuah lagi hadis , berkaitan perkara ini

Bab Pertanyaan Mengenai Rukun Islam

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya:

Kami dilarang bertanya sesuatu kepada Rasulullah s.a.w. Maka kami merasa amat bertuah apabila seorang kampung yang cukup bijak datang mengadap Rasulullah s.a.w untuk bertanya kepada baginda di mana kami dapat mendengar perbualannya.

Kemudian datang pula seorang lelaki dari daerah pendalaman lalu bertanya baginda: Wahai Muhammad! Utusanmu telah datang kepada kami dan menyatakan kepada kami bahawa engkau telah diutuskan oleh Allah.

Lalu Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar.

Lelaki tersebut bertanya lagi: Sekiranya benar, siapakah yang menciptakan lagit?

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Allah.

Lelaki tersebut bertanya lagi: Siapakah yang menciptakan bumi?

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Allah.

Kemudian lelaki tersebut bertanya: Siapakah yang menegakkan gunung-ganang dan menjadikannya sebagaimana sekarang?

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Allah.

Lelaki tersebut terus bertanya: Demi Pencipta langit dan bumi serta menegakkan gunung-ganang, adakah Allah yang telah mengutuskanmu?

Rasulullah s.a.w. menjawab dengan bersabda: Ya.

Lelaki itu bertanya lagi: Utusanmu mendakwa bahawa kami wajib mendirikan sembahyang sebanyak lima waktu sehari semalam.

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar.

Lelaki tersebut bertanya lagi: Demi Allah yang mengutusmu, adakah Dia yang mewajibkan perkara ini kepadamu?

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Ya.

Lelaki tersebut bertanya: Utusanmu mendakwa bahawa kami wajib mengeluarkan zakat dari harta kami.

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar.

Lelaki tersebut bertanya lagi: Demi Allah yang mengutusmu, adakah Dia yang mewajibkan perkara ini kepadamu?

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Ya.

Lelaki tersebut berkata lagi: Utusanmu juga mendakwa bahawa kami diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan setiap tahun.

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar.

Lelaki tersebut bertanya lagi: Demi Allah yang mengutusmu, adakah Dia yang mewajibkan perkara ini kepadamu?

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Ya.

Lelaki tersebut berkata lagi: Utusanmu mendakwa bahawa kami wajib mengerjakan Haji di Baitullah, sekiranya berkemampuan.

Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar.

Kemudian lelaki tersebut beredar sambil berkata: Demi Allah yang mengutuskanmu dengan kebenaran, aku tidak akan menambah atau mengurangi apa yang telah engkau jelaskan.

Setelah mendengar kata-kata lelaki tersebut, baginda pun bersabda: Sekiranya dia membenarkan sebagaimana yang diucapkannya nescaya dia akan masuk Syurga.

Riwayat :

  • Bukhari – Kitab Ilmu (Hadith no. 61)
  • Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 13)
  • Tirmizi – Kitab Zakat (Hadith no. 562)
  • Nasaie – Kitab Puasa (Hadith no. 2064, 2065 & 2066)
  • Abu Daud – Kitab Sembahyang (Hadith no. 411)
  • Ibnu Majah – Kitab Penempatan (Hadith no. 1392)
  • Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 3 (Muka Surat 168)
  • Ad-Darimi – Kitab Pendahuluan (Hadith no. 648)