Archive for February, 2011

February 18, 2011

Bukan Islam Boleh Jadi Ahli Penuh PAS -Rachid Ghanouci, Tunisia

by 2000N

Oleh Subky Latif

SELAMA 22 tahun Rachid Ghanouci menjadi pelarian Tunisia yang berkelana di England. Selepas lebih seminggu Presiden Zaine al Abidene Ben Ali digulingkan oleh tunjuk perasaan rakyat Tunisia, pemimpin gerakan Islam, Annahdah ini pun pulang ke tanahairnya.Beribu-ribu penyokongnya menyambut kepulangannya, antaranya gadis-gadis yang tidak pernah melihat wajahnya, mereka sekadar mendengar namanya. Malah ada yang lahir setelah Syeih Rachid (Rasyid) lari meninggalkan negaranya.

Mereka berdahuluan datang ke lapangan terbang untuk menyambutnya dan mereka amat gembira dapat melihat wajah pemimpin itu buat pertama kali.

Parti Islam yang dipimpinnya adalah rangkaian gerakan Ikhwanul Muslimun di negara Islam Afrika utara itu. Samalah seperti kebanyakan pemimpin gerakan Islam di negara-negara terpaksa melarikan diri dari buruan pemimpin kerajaan masing-masing.

Mana yang tidak sempat melarikan diri akan ditahan, diseksa malah ada yang hilang tidak dengar khabar hingga akhirnya.

Rachid Ghanouci terpaksa meninggalkan kaum kerabat, pengikut dan penyokong untuk meneruskan jihad di luar negara. Sama lamanya Rachid berada di England dengan lama pemerintahan kejam Zaine al Abidene di Tunisia.

Tuan Rachid tidak sekadar menjadi pemimpin Islam negaranya, tetapi beliau boleh dilihat sebagai seorang pemimpin yang hatinya begitu dekat dengan PAS yang menjadi rangkaian gerakan Islam di Malaysia. Hubungannya dengan pemimpin PAS seperti Al-Marhum Ustaz Fadzil Noor dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang amat rapat.

Para pemimpin PAS sering bertemu dengannya bagi bertukar maklumat bagi meneruskan perjuangan dakwah dan politik di peringkat antarabangsa dan di negara masing-masing.

Ketika PAS mula memperkenalkan dakwahnya kepada masyarakat bukan Islam, pimpinan PAS yang diketuai oleh Al-Marhum Ustaz Fadzil Noor telah mendapatkan pandangan rakan-rakan gerakan dari negara-negara lain mengenai pendekatan yang wajar dibuat bagi mendekati masyarakat bukan Islam.

Satu pertemuan telah diadakan di London dan Rachid Ghanouci adalah antara tokoh yang memberi pandangan positif untuk membawa masyarakat Islam sebagai ahli PAS.

Pandangan betapa masyarakat bukan Islam yang menjadi rakyat di Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia perlu diambil kira oleh PAS yang menjadi sebuah parti politik Islam negara ini. Pandangan itu telah dibuat seawal PAS ditubuhkan disebutkan oleh pengasasnya Haji Ahmad Fuad Hassan.

Kemudian Prof. Zulkifli Mohamad pernah mencadangkan kepada muktamar parti untuk menerima mayarakat bukan Islam sebagai ahli bersekutu. Prof. Zulkifli dikira telah mendahului zamannya. Cadangan itu dibuat ketika majoriti perwakilan belum merasakan masanya telah sampai.

Perbincangan timbul semula apabila PAS cuba memperkenalkan perjuangannya kepada masyarakat bukan Islam sekitar tahun 1985, berikut terbentukkan CCC, parti kumpulan masyarakat Cina yang menyokong PAS.

Perbincangan terus dibuat dari sudut politik dan tuntutan syariyah. Hidup semula cadangan menerima mereka sebagai ahli bersekutu.

Al-Marhum Ustaz Fadzil suka mengambil langkah yang cermat. Sebelum sebarang langkah dibuat, PAS perlu mendengar pandangan rakan-rakan gerakan Islam di negara-negara lain.

Dalam pertemuan di London yang dihadiri sama oleh pemimpin Islam Tunisia itu, rakan-rakan gerakan Islam serata dunia berpandangan betapa pentingnya PAS menyelaraskan perjuangan Islamnya dengan masyarakat majmuk di Malaysia. Tidak dibantah lagi betapa PAS wajar disertai oleh orang bukan Islam.

Amat menasabah langkah membuka pintu bagi menerima mereka sebagai ahli bersekutu.

Ketika itu Rachid menyatakan pandangannya, mengapa sekadar menerima mereka sebagai ahli bersekutu? Mengapa tidak menjadi ahli penuh?

Dari segi politiknya ia adalah positif. Tetapi bagaimana dari segi hukum.

Lontaran Rachid itu merumuskan betapa hukumnya harus menerima bukan Islam sebagai anggota penuh PAS. Setiap yang harus boleh dilaksanakan dan boleh tidak dilaksanakan.

Para ulama PAS mengambil masa membincangkannya. Langkah pertama membentuk Kelab Penyokong PAS dulu. Setelah melihatnya begitu positif, maka dua tahun lalu PAS mula mengkaji meminda perlembagaannya dan sekarang terbentuklah Dewan Perhimpunan Penyokong PAS yang mengumpulkan ahli PAS dari kalangan bukan Islam dan ada perwakilannya dalam Muktamar PAS.

Apapun perkembangan dalam PAS Rachid Ghanouci yang baru pulang dari London ke Tunisia adalah salah seorang yang telah menumbangkan batu besar bagi melengkapkan PAS sebagai gerakan Islam yang merangkumkan masyarakat bukan Islam di dalamnya. Samalah pentingnya dengan pandangan yang diberi oleh Haji Ahmad Fuad dan Prof. Zulkifli Mohamad dulu. (Harakah)

February 16, 2011

Erti Maulidurrasul Dari Abuyah Untuk Kami

by saitusaya

Assalamualaikum wbt.

 

Luahan hari seorang anak perempuan yang solehah tentang abuyahnya yang sudah kembali menghadap Illahi. Ilmu yang ditinggalkan cukup besar. Hayati luahan ini yang mungkin buatkan kita tersedar sejauh mana amalan kita untuk menghadapNya. Mampukah kita mendidik anak-anak kita seperti Abuyah ini mendidik anak-anaknya?

 

Setiap hari sebelum msuk asrama, setiap hari kalau kami balik dari asrama, atau kami telefon rumah, atau arwah abuyah melawat kami di asrama, setiap kali itulah pesanan yg sama akan keluar dari mulutnya, tak pernah tukar ayat (sampai dulu-dulu masa kecil kami bosan dan pernah terpikir, tak ada pesanan lain ke, tapi bila dah besar, baru kami sedar betapa pesanannya itu sentiasa membimbing langkah kami bila dia tiada).

 

“ANAK-ANAK ABUYAH SEMUA.. INGATLAH.. KEJAYAAN KITA YG SEBENAR IALAH APABILA KITA BERJAYA TAAT PERINTAH ALLAH DAN IKUT SUNNAH KEKASIHNYA MUHAMMAD S.A.W.. KITA TAKKAN BAWA RUMAH BESAR, KERETA MEWAH, DUIT MELAMBAK, ATAU SIJIL-SIJIL DALAM KUBUR.. TAPI KITA BAWA AMALAN-AMALAN KITA, SOLAT KITA, ZIKIR KITA, QURAN KITA, SEDEKAH KITA.. MALAIKAT TAKKAN SOAL KITA, BERAPA SPM KAMU, SIAPA IDOLA KAMU, BERAPA GAJI KAMU, BERAPA SIJIL KAMU ADA, BANYAK MANA HARTA KAMU.. TAPI DIA SOAL SOALAN YANG KAMU SEMUA TAHU KAN.. MAN RABBUKA, MAN NABIYYUKA DAN SETERUSNYA.. DAN SIAPA NANTI YANG JAWAB?? AMALAN-AMALAN KITA YG AKAN JAWAB….”

 

Kehidupan kami disusun abuyah dengan indah.. kami bangun seawal 5.30 pagi dengan satu laungan doa yang kuat dari seorang ayah yang berdiri di antara bilik lelaki dan perempuan (alhamdulillahillazii, ahyanaa, ba’damaa, amaatana wa ilaihinnusyur) dan kami dalam keadaan terpisat-pisat wajib mengikut bacaan doa, mata jadi segar sikit, yang tertidur balik confirm kena baling dengan bantal.. huhu (aku pernah kena).. dari no 1-no 9, tiada yang terkecuali, bergilir mengambil wudhu’ dan khidmat diri, mata yang mengantuk terpaksa dibuka, yang dalam bilik air ada yg tersengguk-sengguk ,maklumlah kecil lagi.. budak lain waktu ni tidur lagi, abuyah yang baru saja usai solat sunat tahajjud datang tengok progress, bergerak tak line.. tak gerak ada yang kena sound. “cepat-cepat.. yang dah sudah pergi solat sunat dulu, baca quran ke.. zikir ke..”. kami yang perempuan masuk dapur, jerang air, siapkan bahan breakfast.. bila semua yang lelaki dah keluar pergi masjid baru kami bergilir.. maklumlah lelaki 6org, perempuan 3 ketul jer.. abuyah didik yang lelaki solat berjemaah masjid dari kecil menyebabkan adik-adikku yang lelaki tak pernah solat di rumah.. buyah kata sunnah laki solat di msjid.. hinggakan ada satu kali tu, adikku ting.2, kami terlupa kejut solat asar, menangis depanku.. kerana terlepas solat berjemaah di masjid, walaupun terlewat dia tetap pergi masjid. aku cakap takpe je.. dia kata takleh.. abuyah kata sunnah solat di masjid.. aku sebak mendengarnya..

 

Start 6.30 pagi bermula agenda wajib- ta’lim10 minit. Abuyah sajikan hati-hati kami setiap pagi dengan hadis-hadis nabi dan kisah-kisah sahabat dari kitab fadhail a’mal- krgn maulana zakariya, kemudian mangaji sampai jam 7.20. Yang kecil abuyah ajar.. yang besar abuyah suruh menghafal surah-surah penting.. Abuyah kata, abuyah nak anak-anak dia jadi huffazul quran.. hari cuti kmi menngaji lebih lama.. hingga jam 8.. kadang-kadang nak lari kami buat alasan nak pergi buang air, huhu.. jahatnya dulu.. lepas sarapan, kalau hari sekolah, kami pergi sekolah.. tapi hari cuti paling kami takut-kena tasmi’ surah yang dihafal.. tak dapat kena ROTAN! Rotan panjang sedepa.. mana tak cuak..

Then lepas tasmi’ makan ramai-ramai dalam dulang.. Buyah kata makan dalam dulang sunnah.. Dan berkat..Kami pun makan.. then study.. Abuyah ajar sorang-sorang (kalau buyah tak kerja).. semua subjek buyah boleh ajar.. sampai kami faham.. lepas makan dan solat zohor, kami WAJIB TIDUR SAMPAI ASAR!

 

Lepas solat asar abuyah ajak kami riadah.. buyah main dengan kami.. buyah ajar kami main ping pong, karom, takraw, badminton.. sampai kami besar abuyah still main dengan kami.. bila malam lepas makan, kami ta’lim lagi.. kali ni lebih lama. Dan buyah ajar kami cara hidup Nabi MUHAMMAD S.A.W.. dari bangun tidur sampai tidur balik.. Setiap malam ulang benda yang sama.. kami bosan masa kecik-kecil.. tapi bila besar sikit, kami sedar.. kami hafal apa yang buyah ajar.. dan kami amalkan..

Arwah abuyah kata- “SAMBUTAN MAULIDURRASUL SEPATUTNYA HARI-HARI DALAM KEHIDUPAN KITA.. NABI KAN PERNAH BERKATA BARANGSIAPA YANG MENGHIDUPKAN SUNNAHKU DI AKHIR ZAMAN, MAKA DIA SEOLAH-OLAH MENGHIDUPKAN AKU..”

 

Abuyah ajar kami segala-galanya.. Abuyah pupukkan kami rasa cinta pada nabi.. Abuyah buat kami sedar

“KEJAYAAN YANG SEBENAR ADALAH APABILA KITA BERJAYA TAAT PERINTAH ALLAH DAN IKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W..”

 

Abuyah pergi selepas abuyah selesaikan tugasnya di dunia, mendidik kesembilan-sembilan anaknya dengan sebenar-benar didikan.. Abuyah lahir abuyah dengar azan dan iqamat, abuyah pergi dengan lafaz teragung “LAAILAHAILLALLAH MUHAMMADURRASULULLAH..”- Alhamdulillah.. 16hb ni genap setahun abuyah meninggal.. Tapi abuyah sebenarnya tak pernah tinggalkan kami.. kami takkan biarkan kubur abuyah gelap sikit pun.. sbb kami akan amalkan segala sunnah yang abuyah ajar pada kami.. moga kubur buyah akan menjadi kubur yang paling bercahaya.. amiin..

 

~p/s: buyah. buyah. athiyahkan ada exam syafawi- 30 juzu’ rabu ni.. 16hb.. Dia menangis sebab tarikh dia exam sama dengan tarikh abuyah meninggal.. lemah semangat sikit kot.. Doakn ye yah.. Assalamualaikum abuyah..

 

ALLAHUMMA SOLLI A’LA SAIDINA MUHAMMAD~~

 

–Terkedu seketika–

February 10, 2011

Henti Sambut Valentine Day

by 2000N

Tarikh 14 Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14 Februari, pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah.

Pasangan-pasangan ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adegan-adegan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya.

Saban tahun juga para ulama mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ia seperti menuang air ke daun keladi. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram. Ia adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom kuno dan juga Kristian.

Sejarah Sambutan Hari Valentine

Bila kita membicarakan tentang sejarah sambutan hari Valentine, maka kita akan dapati bahawa terdapat empat pendapat berkaitan dengannya.

Pendapat pertama mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata.

Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun.

Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih dua pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu.

Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai dua pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ia akan menambahkan kesuburan mereka.

Pendapat kedua mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat dua versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini.

Versi pertama. Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II.

Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari.

Pengorbanan yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya.

Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan From your Valentine (Daripada Valentinemu).

Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.

Versi kedua. Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin.

Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.

Pendapat ketiga. Ia dirayakan sempena kejatuhan kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. Tanggal 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.

– Pendapat keempat. Sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawan burung yang jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.

Di sini kita dapat melihat dengan jelas bahawa asal-usul sambutan Hari Valentine ini tidak ada hubung-kaitnya dengan budaya serta agama bagi umat Islam.

Hukum sambut Valentine

Sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah serta disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Ini sebagaimana yang firman Allah SWT: Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. (al-Hajj: 67)

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri”. (riwayat al-Nasaai, no: 959).

Oleh itu hendaklah umat Islam membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu tiga kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Maulid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Quran dan lain-lain.

Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam. Malah ia berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Tahun Baru Masihi, Hari Halloween dan juga Hari Valentine yang sedang kita perbincangkan ini. Terdapat larangan daripada baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabda baginda: ”Barang siapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka”. (riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512).

Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Sheikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar”.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam”.

Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredai Allah SWT.

Firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar). (al-Baqarah: 120)

February 8, 2011

WikiLeaks: Naib presiden Mesir rapat dengan Israel

by 2000N

Naib Presiden Mesir, Omar Suleiman dilaporkan mempunyai hubungan rapat dengan tentera Israel dan negara Yahudi itu dikatakan gembira sekiranya beliau dilantik sebagai ketua negara yang baru.

Ia pendedahan menerusi kabel diplomat Amerika Syarikat yang disiarkan akhbar Telegraph, hari ini.

NONEPada 2008, memo diplomatik Amerika yang dibocorkan kepada akhbar di Britain oleh laman sesawang WikiLeaks melaporkan, penasihat kepada kementerian pertahanan Israel, David Hacham, memberitahu pegawai Amerika bahawa rejim Zionis itu menjangkakan Suleiman yang namanya dieja sebagai “Soliman” akan mengambil alih sebagai presiden Mesir.

“Hacham amat menyanjungi Soliman,” kata laporan itu.

“Hacham juga menegaskan bahawa Israel percaya Soliman sekurang-kurangnya akan dilantik sebagai presiden interim sekiranya Mubarak mati atau digulingkan,” katanya.

– AFP

February 3, 2011

Keadaan Mesir Pada Zaman Imam Hasan Al-Banna dan Kelahiran Dakwah Ikhwanul Muslimin

by 2000N

Hasan al-Banna dilahirkan di Mesir pada awal abad 20 Masehi. Dalam suku pertama abad 20 Masehi ini dia telah melancarkan satu gerakan Islam yang besar, yang terkenal dengan nama “Ikhwanul Muslimin”. Hasan al-Banna dan Ikhwanul Muslimin adalah dua nama yang tidak dapat dipisahkan. Begitu bertenaga sekali gerakan tersebut sehingga pengaruhnya bukan saja merebak di Mesir, tetapi telah meresapi seluruh Dunia Arab. Gerakan Ikhwan telah mencetuskan kebangkitan Islam dan roh Islam di Dunia Arab.

Jika kita betul-betul hendak menghargai segala usaha beliau dan memahami peribadinya, maka perlulah kita mengenali suasana (keadaan) dan zaman ketika beliau dilahirkan,  dibesarkan  dan  dididik.  Disamping  itu,  kita  juga  perlu  mengetahui cabaran-cabaran dalaman dan antarabangsa yang sedang mengancam Mesir ketika Imam Hasan al-Banna dilahirkan. Sekarang kita akan mengkaji zaman ketika beliau dilahirkan dan peranan besar yang dimainkan olehnya.

Gerakan Pembebasan – Terbahagi kepada dua kumpulan besar.

Pemberontakan Airabi Pasya gagal pada tahun 1833 Masehi. Kegagalan ini merupakan satu malapetaka politik yang besar bagi Mesir. Peristiwa tersebut menimbulkan ketakutan dan kekecewaan diseluruh negara Mesir. Lantaran itu, Mesir dilanda pertikaian disegi akhlak dan kefahaman (ideologi). Orang ramai berasa takut bila nama gerakan pembaharuan atau politik disebut. Keadaan ini berlarutan sehingga permulaan abad 20 Masehi. Akhirnya sebuah pertubuhan belia Mesir telah ditubuhkan untuk memupuk kesedaran kepada rakyat Mesir. Mereka melancarkan gerakan menentang British. Para pemuda ini tergolong ke dalam dua kumpulan. Kumpulan pertama memiliki semangat Islam. Kumpulan yang kedua pula inenggunakan cara yang agak baru dan berlainan. Cogan kata mereka ialah “Kebangsaan Mesir”. Dasar perjuangan kumpulan kedua ini bertentangan dengan kumpulan pertaina yang berlandaskan nilai-nilai Islam serta menyebelahi Kerajaan Turki Bani Othmaniah.

Kumpulan Pertama

Kumpulan pertama cintakan Islam dan tanah air. Kumpulan ini diwakili oleh pertubuhan “Al Hizbul Watani” yang dipirnpin oleh Mustaffa Kamal, seorang yang bijak bersyarah. Beliau memupuk semangat kebangsaan yang berdasarkan Islam di hati orang orang Mesir. Beliau tidak menganggap agama dan semangat kebangsaan itu bertentangan antara satu sama lain.

Cogan katanya ialah “Agama (Deen) dan tanah air   adalah   saudara   kembar   yang   tidak   boleh   dipisahkan.”   Kumpulan   ini membayangkan kecintaan mereka kepada tanah air umparna seorang kekasih memuji orang yang dicintainya. Inilah yang dibayangkan oleh penyair terkenal, Ghayati dan Muharram melalui syair-syair mereka. Di antara pernimpin-pemimpin kumpulan ini ialah  dua  orang  ulama’  yang  bernama  Muhammad  Farid  Wajdi  dan  Abdul  Aziz Jawesh. Kegiatan kumpulan ini telah menimbulkan kebimbangan dipihak penjajah British dan Raja Mesir. Muhammad Farid Wajdi dan Abdul Aziz Jawesh telah dipenjarakan kerana menulis huraian mengenai kumpulan syair karya Ghayati.

Kumpulan Kedua

Kumpulan kedua terdiri daripada para pejuang fahaman kebangsaan yang mulhid (atheis). Dasar perjuangan mereka bertentangan dengan dasar perpaduan dan persaudaraan Islam. Golongan ini tidak suka orang ramai mencorakkan kehidupan mereka menurut dasar-dasar Islam. Kumpulan ini menegakkan fahaman kebangsaan Mesir.   Fahaman   kebangsaan   mereka   adalah   salah   kerana   mereka   menjaga kepentingan negara mereka saja tanpa mempedulikan segala masalah yang menimpa Negara-negara Islam yang lain. Mereka menyungkil kembali ciri-ciri sejarah Mesir kuno untuk memperkukuhkan fahaman kebangsaan mereka tadi. Bahkan mereka mengaitkan sejarah mereka dengan sejarah para Firaun. Mereka menganggap perjuangan menegakkan fahaman kebangsaan Mesir adalah satu perjuangan yang baik walaupun terpaksa mengorbankan kepentingan-kepentingan lain. Walaupun kumpulan ini bersatu atas dasar fahaman kebangsaan Mesir, tetapi sebenamya mereka berpecah pula kepada dua ranting berdasarkan kepada perbezaan pemikiran dan pendapat.

Ranting Pertama

Ranting pertama ini diketuai oleh akhbar “Al Muqattam” yang selalu menyokong pendapat pihak British. Ia menimba pendapat daripada Gabenor British di Mesir, Lord Cromer. Sebenarnya, pihak Britishlah yang memainkan peranan penting dalam menyebarkan fahaman kebangsaan Mesir. Mereka ingin memisahkan rakyat Mesir dari Dunia Islam. Pihak British suka rakyat Mesir memelihara kepentingan Mesir sahaja tanpa mempedulikan saudara se Islam mereka di Semenanjung Arab, Turki, Iran dan Asia. Sebahagian daripada komplot British ialah memutuskan hubungan di antara orang orang Arab dan orang orang Turki; juga memecahbelahkan orang-orang Arab kepada kumpulan-kumpulan yang bertentangan antara satu sama lain.

Di dalam akhbar Al-Muqattam ada ditulis:

‘Orang orang British yang tinggal di Mesir ingin membawa kebaikan kepada rakyat Mesir. Mereka ingin membebaskan rakyat Mesir daripada kekejaman pentadbiran sekarang. Mereka ingin rakyat Mesir menikmati keamanan dan keadilan. Mereka patut dihargai kerana menyelamatkan Mesir daripada masalah (kemelut) ekonomi dengan memberinya satu corak (sistem) ekonomi yang seimbang.’

Sebuah majalah yang bernama ‘Al-Muqattaf’ juga turut memberi bantuan dalam usaha ini. Ramai juga para pemuda Mesir yang dipengaruhinya. Mereka ini turut mernuji Gabenor British (Lord Cromer).

Rakyat Mesir yang menentang Aq Mudattaf dan Al-Muqattam dituduh menyokong Turki. Seorang ulama’ besar seperti Muhammad Abduh pun menyokong Gabenor British itu. Satu kenyataan yang tidak dapat  dinafikan  ialah  bahawa  para  penyokong  Al-Muqattam  dan  Al-Muqattaf memang tidak ikhlas kepada tanah air mereka sendiri. Mereka hanya ingin melayani kepentingan diri mereka sahaia. Akhirnya orang-orang yang tamak ini menubuhkan satu pertubuhan mereka sendiri yang mereka namakan ‘Al-Hizbul Watani Al-Hura’. Tujuan  pertubuhan  ini  ialah  menentang  Al-Hizbul  Watani  yang  dipimpin  oleh Mustaffa Kamal.

Ranting Kedua

Ranting kedua golongan kebangsaan ini terdiri daripada Hizbul Ummah. Ia mewakili golongan pemerintah Mesir dan tuan-tuan tanah. di Mesir. Golongan ini menganggap kuasa sebenar negara Mesir berada ditangan Gabenor British, Lord Cromer. Mereka berpendapat dia mesti disokong dan bukannya ditentang. Hizbul Ummah ditubuhkan pada tahun 1907 Masehi dibawah pimpinan Mahmood Sulaiman Pasya. Kesemua pasya-pasya (ketua ketua atau para pemerintah) dan tuan-tuan tanah ini bersifat tamak dan selalu membuat perancangan yang memenuhi kepentingan mereka. Beberapa orang cendekiawan yang rakus dan curang seperti Lutfi as-Syed telah memasuki kumpulan ini. Akhbar ‘Al-Jaridah’ menjadi lidah rasmi mereka.

Golongan pemerintah Mesir dan tuan-tuan tanah memasuki Hizbul Ummah untuk mendapat keuntungan duniawi tetapi para cendekiawan seperti Lutfi as-Syed dan ahli-ahli falsafah lain mewakili fahaman kebangsaan Mesir. Mereka ini berpegang kepada pendirian dan fahaman politik tertentu. Mereka menyokong dasar kebebasan berfikir, dasar kerjasama dengm British dan dasar menurut secara membuta tuli segala corak hidup orang Eropah. Mereka ingin Mesir mencontohi Eropah dari segi kebudayaan, ekonomi dan politik.

Lutfi as Syed menulis:

‘Negara Mesir inginkan keamanan. Negara Mesir sayangkan rakyat British. Walaupun  dari  segi  undang-undang,  kerajaan  Mesir  berada  ditangan  Raja  Mesir, tetapi dari segi amalinya, Mesir diperintah oleh Gabenor Lord Cromer. Sudah sampai masanya  kedua  kuasa  ini  dipusatkan.  Ini  bermakna  kerajaan  yang  sah  dari  segi undang-undang itu diserahkan kepada Gabenor British.’

Mereka ini menentang cara hidup Islam. Salah seorang pemimpin mereka, Abdul Hamid az-Zahrawi, telah menulis di dalam akhbar Al-Jaridah:

“Perpaduan umat Islam berakhir setelah Saidina Umar Al-Khattab meninggal dunia. Perpaduan umat Islam juga berakhir setelah Saidina Ali bin Abi Talib syahid. Mengapakah sekarang hendak ditegakkan perpaduan yang telah musnah seribu tiga ratus tahun dahulu?”

Pertelingkaban antara dua kumpulan besar.

Pertentangan berlaku di antara Al-Hizbul Watani pimpinan Mustaffa Kamal, Farid Wajdi dan Abdul Aziz Jawesh dengan kumpulan-kumpulan lain yang berbagai corak itu. Al-Hizbul Watani Al-Hurra memperjuangkan kepentingannya dengan bantuan Al-Muqattam dan Al-Muqattaf. Hizbul Ummah pula meneruskan usahanya untuk mencapai keuntungan duniawi dengan bantuan Al-Jariyah. Muhammad Abduh sedang menjalankan usahanya untuk membaratkan seluruh Mesir. Terdapat perbezaan antara dua gerakan yang bertentangan ini. Pendekatan Al-Hizbul Watani dan Mustaffa Kamal lebih berlandaskan perasaan. Pendekatan Al-Hizbul Ummah, Lutfi as-Syed dan Al-Hizbul Watani Al-Hurra pula berlandaskan akal fikiran. Mereka ini berusaha menyerapkan fahaman Liberalisme (kebebasan individu yang tidak terbatas dan mengenepikan hak serta kepentingan) dan fahaman kebendaan ke dalam jiwa para pemuda Mesir.

Mustaffa Kamal dan akhbarnya A-Liwa’ telah mengecam hebat para penentangnya. Beliau memperjuangkan fahaman kebangsaan yang berdasarkan Islam dan ingin meletakkan seluruh Dunia Islam di bawah satu bendera Islam saja. Beliau mengisytiharkan bahawa Perjanjian Turki dan Mesir pada tahun 1840 haruslah dihormati. Perjanjian tersebut menjamin kebebasan dalam negara Mesir di bawah naungan

kerajaan Turki. Menurut perjanjian itu, Mesir perlu membayar cukai kepada Turki dan Turki pula akan melantik para hakim untuk Mesir. Hizbul Ummah dan Hizbul Watani Al-Hurra menuduh Mustaffa Kamal cuba menghancurkan cengkaman British ke atas Mesir dan menegakkan kekuasaan Turki yang sepenuhnya di Mesir. Untuk mengukuhkan pendapat ini Al-Muqattam menerbitkan makalah-makalah yang memaparkan Turki sebagai penindas dan British pula sebagai pihak yang adil.

Mustaffa Kamal tidak memisahkan kebangsaan daripada Deen (agama). Katanya, jika seorang British boleh memperjuangkan kebangsaan disamping mazhab Protestannya, maka seorang Mesir juga boleh menjadi seorang muslim dan seorang pejuang kebangsaan pada masa yang sama.

Peranan British.

Pihak  British  sedang  berusaha  melemahkan  semangat  Islam dan  pengaruh kerajaan Turki Bani Othmaniah yang menguasai rakyat Mesir. Pihak British menyokong setiap orang yang mengecam Khalifah orang Islam (yakni Sultan Turki) atau menentang Raja Mesir. Mereka juga menyokong setiap orang yang menyebelahi mereka dan inginkan pembaharuan dalam negeri saja. Kerana itulah, Mustaffa Kamal ingin pihak British keluar dari Mesir. Pihak British menyokong ‘Gerakan Khalifah Arab’ yang dipelopori oleh Syarif Hussin di Mekah kerana ini boleh melemahkan kedudukan Khalifah orang Islam di Turki. Pihak British mengalu-alukan kedatangan para anggota gerakan ‘Turkiya Al-Fatat’ dan gerakan ‘Anjuman Ittihadi wa Taraqqi’ yang telah meninggalkan Turki untuk menetap di Mesir. Para anggota gerakan- gerakan tersebut menerbitkan akhbar mereka sendiri yang mengecam Sultan Abdul Hamid Turki. Apabila baginda menulis surat kepada Raja Abbas Mesir memintanya menghantar pulang orang-orang yang lari dari Turki itu, Lord Cromer campurtangan dan menahan Raja Abbas daripada berbuat demikian.

Apabila hubungan antara Muhammad  Abduh  dan  Raja  Abbas  Mesir  menjadi  tegang,  Lord  Cromer  telah memberi sokongan kepada Muhammad Abduh. Lantaran sokongan ini, Muhammad Abduh dapat mengekalkan kedudukannya walaupun ditentang oleh Raja Abbas. Pihak British juga menyokong rakan-rakan Muhammad Abduh seperti Mustaffa Fahmi, Riyaz  Pasya,  Sa’ad  Zaghlol,  Fatahi  Zaghlol  dan QasimAmin  kerana  mereka  ini menentang Raja Mesir dan inginkan pembaharuan dalam negeri saja.

Insyaallah bersambung…..