Mengapa Rakyat Turki Menyanjung Mustafa Kemal?

by ayatul akhras

Mustafa Kemal, lebih dikenali di kalangan rakyat Turki sebagai bapa pembangunan yang membawa revolusi besar kepada negara Turki. Mereka sangat menyanjung beliau sehingga namanya kerap meniti di bibir rakyat berbanding pemimpin-pemimpin Turki yang lain. Situasi ini pasti dipandang jelek bagi umat Islam yang berada di luar Turki kerana umum berpendapat beliau adalah seorang pencetus revolusi songsang yang telah memberi impak besar dalam sejarah umat Islam pada kurun ke-20.

Bumi Turki telah menyaksikan bahawa di disitulah Islam berada di puncak kegemilangan semasa era Turki Uthmaniyah dan di bumi itu jugalah Islam yang berada di puncak jatuh sedikit demi sedikit sehingga lenyap sama sekali sehingga ke hari ini. Bermula daripada kerajaan kecil di barat Anatolia yang wujud kerana kelemahan dalam kerajaan Abbasiyah, kerajaan Turki Uthmaniyah menjadi semakin kukuh setelah penaklukan Kota Constantinople pada tahun 1453 oleh Sultan Muhammad II the Conqueror, khalifah ke-7 dalam empayar Uthmaniyah.

Serangan dimulakan dengan tawaran kepada Byzantine untuk menyerahkan Constantinople secara aman namun, secara sinis ditolak. Akhirnya serangan ketenteraan selama 53 hari berlangsung sehingga benteng pertahanan Byzantine berjaya ditembusi oleh tentera Islam yang membawa kepada pengislaman kota tersebut. Kejayaan ini menjadikan Istanbul sebagai pusat pentadbiran Islam terkemuka di dunia pada zaman itu.

Kerajaan Turki Uthmaniyah yang berkuasa penuh selama 600 tahun itu akhirnya jatuh setelah pemecatan Sultan Abdul Hamid II pada 27 April 1909 secara mengejut melalui beberapa orang tetamu yang tidak diundang ke istana Yildiz. Mereka kononnya mewakili rakyat Turki yang dating mahu memecat baginda. Selepas itu, rakyat Turki diperintah oleh khalifah boneka yang tujuannya hanya untuk mempercepat proses kejatuhan khilafah Uthmaniyah secara total.

Dalam keadaan negara kacau bilau dan krisis ekonomi yang teruk akibat ketidakstabilan politik yang melanda kerajaan Uthmaniyah, pada ketika itulah terserlah seorang pemimpin yang dirasakan mampu memberikan pencerahan kepada negara Turki. Beliau adalah Mustafa Kemal. Siapakah Mustafa?

Mustafa Kemal berasal daripada keturunan Yahudi yang telah memeluk Islam di Salonika, Greek. Walaubagaimanapun, keislaman mereka hanya pada zahirnya sahaja sedangkan dalam senyap-senyap mereka masih mengamalkan ajaran Yahudi nenek moyang mereka. Seawal umur 12 tahun lagi, beliau telah memasuki sekolah tentera sehingga menamatkan pengajiannya di peringkat kolej di Istanbul juga dalam bidang ketenteraan.

Kehidupan awal Mustafa telah menunjukkan potensi dirinya sebagai seorang sekular. Beliau sentiasa mengunjungi kedai-kedai arak dan rumah-rumah pelacuran serta tidak berminat untuk mempelajari ilmu agama yang diajar sekolah malah, lebih menyanjung pendidikan barat. Ayahnya yang membenci sheikh-sheikh agama memainkan peranan dalam memasukkanya ke sekolah yang menggunakan sistem barat. Ada yang berpendapat bahawa Kemal bukanlah sebahagian daripada namanya tetapi merupakan gelaran yang diberikan oleh guru atau rakan-rakannya di sekolah yang bermaksud sempurna kerana kepandaian dan kecerdasan yang dimilikinya.

Semasa ditugaskan di kem tentera di Salonika, di situlah bermulanya usaha Mustafa Kemal memusuhi kerajaan Uthmaniyah dan Islam. Beliau telah terlibat aktif dalam gerakan sulit yang menentang kerajaan Uthmaniyah. Imejnya semakin menonjol apabila beliau yang bertugas sebagai panglima berjaya mengalahkan pasukan British di Semenanjung Gallipoli sebanyak 2 kali semasa perang dunia pertama. Hakikatnya, kemenangan ini hanyalah rancangan pihak British untuk menaikkan imej Mustafa di mata tentera Uthmaniyah dan rakyat Turki. Selepas kemenangan yang disengajakan itu, beliau dinaikkan pangkat sehingga ke peringkat jeneral.

Tamatnya perang dunia pertama pada tahun 1918 menyaksikan kerajaan Turki Uthmaniyah jatuh ke tangan tentera Bersekutu. Inggeris mula berhasil menduduki Istanbul dan terus berhasrat untuk menghapuskan sistem kekhalifahan sama sekali. Strategi yang digunakan adalah dengan menjadikan Mustafa Kemal yang mempunyai imej yang cukup baik di kalangan rakyat Turki sebagai pemimpin boneka.

Pada tahun 1923, Mustafa Kemal telah menandatangani perjanjian dengan negara-negara Barat yang dikenal dengan nama Perjanjian Luzan (lausanne). Perjanjian ini mewajibkan Turki menerima syarat Karzun (Curson) yang mempunyai 4 perkara utama. Lord Curzon merupakan ketua delegasi Inggeris dalam pertemuan tersebut dan juga merangkap Menteri Luar Inggeris. Syarat ini dikenakan bagi memerdekakan Turki daripada pendudukan Tentera Bersekutu. 4 syarat Karzun tersebut adalah:

  1. Pemutusan Turki dari semua hal yang berhubungan dengan Islam.
  2. Penghapusan Khilafah Islam untuk selama-lamanya.
  3. Mengeluarkan Khalifah dan para pendukung Khilafah dan Islam dari negeri Turki serta mengambali harta khalifah.
  4. Adaptasi undang-undang sivil sebagai pengganti undang-undang Turki yang lama.

Susulan daripada perjanjian ini maka pada tanggal 3 Mac 1924, terpalit sejarah hitam di kalangan umat Islam apabila sistem khilafah yang tertegak setelah kian lama dihapuskan sama sekali. Walaupun pada asalnya perjanjian kemerdekaan Turki ini boleh dikatakan gagal kerana masih terdapat ramai di kalangan rakyat Turki yang kuat berpegang teguh dengan ajaran Islam menentangnya namun akhirnya rancangan jahat pihak Inggeris ini berjaya direalisasikan melalui boneka ciptaan mereka.

Daripada perjanjian ini juga maka terbentuklah Republik Turki secara rasminya. Orang Islam yang berada di Greek juga dikehendaki berpindah ke Turki dan orang Kristian di Turki dikehendaki berpindah ke Greek dalam proses pemindahan penduduk beramai-ramai.

Maka bermulalah episod rejim Kemalism menular di bumi Turki. Antara revolusi-revolusi songsang yang dibawa oleh ajaran Kemalism adalah:

  • Masjid-masjid ditutup dan dibatasi jumlahnya. Masjid utama di Istanbul ditutup dan Masjid Hagia Shofia diubah menjadi museum manakala Masjid al-Fatih dijadikan gudang.
  • Syariah Islam diganti dengan hukum sivil yang diadaptasi daripada hokum Swiss.
  • Penggunaan kalendar Masehi dan penghapusan sistem kalendar Hijriyah.
  • Teks undang-undang menghapus Turki sebagai pemerintahan Islam.
  • Pelarangan penulisan arab dan pengambilan tulisan latin sebagai alfabet.
  • Pengajaran bahasa Arab dan Persia dihapuskan di seluruh universiti. Buku-buku yang telah dicetak dalam bahasa Arab dieksport ke Mesir, Persia dan India.
  • Meniupkan ruh nasionalisme ke tengah-tengah bangsa Turki dengan selalu melaungkan “Sesungguhnya Turki adalah pemilik peradaban yang paling tua di dunia. Sudah tiba saatnya kini untuk diambil kembali dan menggantikan peradaban Islam.”
  • Al-Quran diterjemah ke dalam bahasa Turki dan azan dilaungkan juga dalam bahasa Turki.
  • Wanita dilarang untuk mengenakan jilbab.
  • Hari minggu ditukar daripada hari Jumaat kepada sabtu selepas Zuhur hingga Isnin pagi.
  • Mewajibkan orang Turki memakai topi barat menggantikan tarbus.

Selaras dengan revolusi yang berjaya direalisasikan oleh Mustafa ini maka beliau digelar sebagai Atartuk yang bermaksud Bapa orang-orang Turki.

Jelas di mata kita bahawa revolusi Kemalism ini jauh terpesong daripada sunnah. Persoalannya, mengapa majoriti rakyat Turki terlalu menyanjung beliau sehingga ke hari ini?

Menurut rakyat Turki, pada awal tahun 1900-an, Turki mengalami keadaan yang sangat sukar akibat ketidakstabilan politik yang dialami oleh kerajaan Turki Uthmaniyah. Rakyat Turki mengalami kemiskinan kesan daripada kerajaan yang terumbang-ambing. Pada waktu itu, tiada satu negara Arab Islam pun yang sudi menghulurkan bantuan kewangan sedangkan mereka hanyalah berjiran. Sebaliknya Acheh dan Pakistan yang berusaha keras memberikan bantuan.

Dalam situasi yang kucar-kacir sebegini, lahirlah seorang pemimpin yang dapat memberikan pencerahan dalam hidup rakyat Turki. Rakyat Turki merasakan mereka memerlukan satu sistem baru yang dapat mengeluarkan mereka daripada kemiskinan yang melanda. Kebetulan pada masa itu Mustafa Kemal yang mempunyai imej yang baik di kalangan rakyat Turki membawa satu perubahan yang dinanti-nantikan. Mereka sudah tidak mahukan sistem lama yang hanya menjadikan mereka terus miskin.

Dalam masa mereka menerima perubahan, mereka tidak sedar bahawa terdapat harga yang perlu mereka bayar dan korbankan iaitu nilai Islam itu sendiri. Sudah menjadi lumrah manusia, mereka akan sanggup lakukan apa sahaja dalam keadaan yang sukar dan genting. Mereka bukan seperti Bilal, Sumaiyah mahupun Yasir yang sanggup berkorban nyawa dalam mempertahankan maruah Islam. Mereka telah dijajah dengan pemikiran sehingga merasakan sekular adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Inilah bukti kejayaan kuffar!

Benarlah firman Allah dalam surah ar-Rum ayat 41 yang bermaksud:

“Telah berlaku pelbagai kerosakan di darat dan di laut dengan sebab perbuatan tangan-tangan manusia sendiri; Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”

Jika kita lihat pada sejarah penubuhan kerajaan Turki Uthmaniyah itu sendiri, kerajaan ini lahir daripada kerajaan kecil yang naik akibat kelemahan kerajaan Abbasiyah. Semasa kerajaan Uthamiyah berada di ambang kejatuhan, tiada satu pun kerajaan Islam lain yang berjaya naik menggantikan Uthmaniyah. Bahkan sehingga sistem khilafah berjaya digulingkan pun mungkin masih ramai lagi yang belum sedar akan hakikat tersebut.

Usahlah kita menyalahkan Atarturk mahupun Yahudi laknatullah sebaliknya, salahkanlah diri sendiri jika kita masih leka atau lupa bahawa Islam kini berada di tahap negatif. Benarlah, kerosakan itu berlaku dengan sebab perbuatan tangan-tangan manusia sendiri.

Advertisements

4 Comments to “Mengapa Rakyat Turki Menyanjung Mustafa Kemal?”

  1. Seperti itulah sebagian kisah yang saya cari-cari jua. Terima kasih banyak atas info yang telah disampaikan. Minta doa buat sukses bahwa disini seorang yang diamanahkan oleh majelis untuk mendirikan Khalifah Islamiyah dan menjadi seorang khalifah sementara sampai tiba masa kongres Internasional selanjutnya.

  2. i do agree with this. but if the caliph that you meant is a lineage empire as that was in turkey at that time, it is fair enough to be broken. so it’s our duty to bring the true caliph back

  3. saya suka membacanya…mungkin segala yang terjadi adalah kehendak ALLAH S.W.T segala yang terjadi ada baik dan buruknya..tapi saya terkilan kerana sistem khalifah yang telah lama berdiri musnah dalam sekelip mata sahaja.saya telah bertanya kepada seorang pensyarah mengapa sistem ini dihapuskan..dan jawapanya ialah ini kerana kerajaan uthmaniyah tidak menjalankan taanggujawab dengan bersungguh-sungguh…tetapi saya masih terkilan…mungkin ini kehendakNYA…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: