Archive for April, 2010

April 29, 2010

Dikir Barat Ulama, Kejutan Baru Idea Tok Guru Nik Aziz

by 2000N

KOTA BHARU, 29 April: Kelantan mencetus satu lagi kejutan baru apabila menubuhkan pasukan dikir barat di kalangan ulama yang terdiri daripada guru-guru agama dan imam masjid. Biar pun berpakaian jubah dan serban di kepala, mereka boleh berdikir seperti kumpulan dikir barat lain.

Jangan terkejut kerana inilah idea dicetus Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dan baru-baru ini beliau melancarkan kumpulan dikir barat tersebut yang dikenali sebagai Kumpulan Dikir Barat Sri Halaqat. Ketika berucap pada perlancaran kumpulan terbabit, Menteri Besar melahirkan rasa syukur kerana cita-citanya untuk memperbanyakkan medium dakwah berjaya direliasasikan melalui persembahan dikir barat.

“Kenapa kita tidak pergunakan persembahan dilkir barat untuk saluran dakwah Islam. Hari ini kita melancarkan Kumpulan Dikir Barat Sri Halaqat,” katanya di Balai Islam, Lundang. Bagi melahirkan rasa gembiranya, beliau menyumbangkan wang peribadi sebanyak RM10,000 bagi mengisi Tabung Kumpulan Dikir Sri Halaqat.

Beliau berkata, minat rakyat Kelantan kepada dikir barat tidak dapat dinafikan kerana di mana-mana sahaja persembahan kebudayaan itu diadakan, ramai orang datang.

Sementara itu, Pengelola Halqat Negeri, Abdullah Abdul Razak berkata, penubuhan Kumpulan Dikir Barat Halaqat merupakan cetusan idea Menteri Besar sendiri yang dimulakan pada awal 2009. Katanya, selain Kumpulan Dikir Barat Sri Halaqat, pihaknya juga menubuhkan Kumpulan Seni Budaya Halaqat.

“Beberapa pengubahsuaian dilakukan iaitu tok juara dikir diubah nama kepada tukang pantun, manakala tukang karut dipanggil tukang syair.

“Unit Dakwah Halaqat kini mempunyai tenaga seramai 3,177 orang yang terdiri daripada mubaligh dan guru al-Quran.

Katanya, hasil kelas pembelajaran al Quran yang dikendalikan guru-guru al-Quran secara purata setiap tahun dapat melahirkan seramai 4,200 pelajar yang khatam al-Quran. (AK)

Komen Blog ISRA‘ :  Seni bagi Barat adalah hiburan semata-mata. Sebaliknya Seni bagi Islam adalah medan dakwah yang tidak boleh lari daripada mauduk asalnya, iaitu untuk menyeru manusia kepada Allah. Supaya jiwa-jiwa manusia itu tidak kering daripada nama-nama Allah S.W.T walaupun ketika berhibur. Tercetusnya idea Dikir Barat Ulama ini merupakan suatu kejayaan bagi dakwah pada hari ini. Moga sedikit demi sedikit industri hiburan di Malaysia akan berasimilasi dengan konsep rabbaniyah dan mengikut jalur syarak.

April 29, 2010

Perbahasan tentang usia U.M Khadijah r.a semasa berkahwin dengan Rasulullah s.a.w.

by umaralfateh


Dikatakan bahawa Ummul Mu’minin Saidatina Khadijah r.a. berumur  40 tahun ketika beliau berkahwin dengan Rasulullah s.a.w.  Ia adalah suatu riwayat yang yang  tidak berasas tetapi telah disebarkan sebegitu rupa dan digarap seolah-olah sebahagian daripada ugama. Ini adalah  percubaan untuk membuktikan bahawa Rasulullah s.a.w. telah melalui zaman mudanya bersama-sama dengan seorang wanita tua.  Dalam usia lanjut , beliau r.a telah melahirkan empat orang anak perempuan iaitu Zainab, Ruqayyah, Ummu Kalthum dan Fatimah r.a.; dan tiga orang anak lelaki yang dinamakan Qasim, Tayyab and Tahir. Menurut sesetengahnya pula, beliau r.a.  telah melahirkan empat orang anak lelaki; ada seorang yang bernama Abdullah, sedangkan setengah yang lainnya pula menyatakan bahawa yang sebenarnya Abdullah telah dipanggil sebagai Tayyab dan Tahir.

Saidatina Khadijah r.a. telah berkahwin sebanyak dua kali sebelum berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Perkahwinan pertamanya adalah dengan Abu Halah Hind bin Banash bin Zararah. Daripadanya, beliau telah mendapat seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Nama anak lelakinya ialah Hind dan anak perempuannya bernama Halah. Setelah kematian Abu Halah, Khadijah r.a. berkahwin dengan Atiq bin ‘Aid Makhzumi. Daripadanya  dia mendapat seorang anak perempuan yang juga bernama Hind. Inilah  sebabnya mengapa Saidatina Khadijah r.a. mendapat kunniyah sebagai Ummu Hind. Anak lelaki Saidatina Khadijah, Hind, telah memeluk Islam.  (Seerat-un-Nabi , Jilid II, m/s 402).

Di sini, timbul satu persoalan, iaitu Saidatina Khadijah r.a. telah melahirkan empat orang anak sahaja di usia mudanya, namun semasa usia tuanya beliau telah melahirkan tujuh atau lapan orang anak, yang mana ia agak bertentangan dengan logik akal.  Sebabnya, menurut Sains Perubatan, seorang wanita menjadi tidak subur untuk melahirkan anak, biasanya apabila  melewati usia 45 tahun. Bagaimana pula boleh dipercayai bahawa lapan orang anak telah dilahirkan setelah melepasi usia 40 tahun?

Pihak Orientalis dan musuh-musuh Islam telah memberi perhatian khusus terhadap riwayat ini, kerana peristiwa ini jelas  bertentangan dengan akal. Dengan mendedahkan peristiwa seperti  ini, mereka mengambil kesempatan untuk  mencemuh Islam.

Namun begitu, ulama kita sebaliknya  menganggap kejadian ini  sebagai ‘satu mukjizat’ Rasulullah s.a.w. Tambahan lagi  mereka menganggap inilah keistimewaan nabi s.a.w.  kerana sanggup mengahwini wanita yang tua sedangkan  baginda s.a.w. sendiri muda belia.

Di pihak yang lain golongan Shiah mendakwa adalah tidak mungkin melahirkan sebegitu ramai anak di usia tua. Oleh itu, Zainab, Ruqayyah dan Ummu Kalthum tidak diiktiraf sebagai anak nabi s.a.w.

Golongan Shiah mengatakan  bahawa umur Khadijah r.a.  ialah 40 tahun semasa berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Meskipun mereka amat mahir bermain dengan angka, mereka telah melakukan kesilapan bodoh bila mendakwa bahawa Fatimah r.a. dilahirkan lima tahun selepas kenabian. Dalam hal ini, Khadijah sudah berumur 60 tahun semasa melahirkan Fatimah r.a.. Dengan ini tidak mungkin Ruqayyah dan Kalthum adalah anak kepada Khadijah kerana mereka adalah lebih muda dari Fatimah.

Kita akan membuktikan bahawa empat orang anak perempuan ini adalah dilahirkan oleh Saidatina Khadijah r.a. dari Rasulullah s.a.w. Tetapi sebelum itu orang Shiah perlu membuktikan bahawa seorang wanita yang berusia 60 tahun boleh melahirkan anak. Dan apabila mereka membuktikannya, mereka mesti juga membuktikan bahawa Fatimah r.a. adalah anak kepada Khadijah r.a.

Sebenarnya terdapat perbezaan pendapat tentang usia sebenar Khadijah r.a bila berkahwin dengan Rasulullah s.a.w.  Ada yang berkata umurnya 40 tahun . Ada yang berpendapat usianya 35 tahun. Yang lain pula mengatakan 30 tahun , dan sesetengah pula mengatakan  27 tahun, manakala ada pula yang menyatakan bahawa usianya 25 tahun. Ahli-ahli sejarah Shiah  sependapat mengatakan umurnya  40 tahun, dan mereka menolak pendapat  lain. Dan mereka  riuh rendah menyebarkan pendapat  ‘40 tahun’  ini  seolah-olah pandangan  lain tidak pernah wujud. Ulama  kita dan ahli-ahli  sejarah yang terkemudian juga terpengaruh dengan daayah ini dan menyangkakan bahawa pendapat golongan Shiah inilah yang  ‘tepat’.

Hafiz Ibn Kathir menulis:

“Baihaqi telah memetik daripada Hakim iaitu apabila Rasulullah mengahwini Khadijah r.a., baginda s.a.w. adalah berumur dua puluh lima tahun dan Saidatina Khadijah r.a. berumur tiga puluh lima tahun, dan ada pendapat lain mengatakan usianya dua puluh lima tahun.” (al-Bidayah, Jilid II, m/s 295)

Dengan  lain perkataan,  Baihaqi dan Hakim menyatakan bahawa Saidatina Khadijah r.a. berusia tiga puluh lima tahun pada waktu itu. Bersama-sama dengan itu, mereka juga turut mengatakan bahawa ada pendapat bahawa beliau r.a. berusia dua puluh lima tahun.

Di tempat lain  , Hafiz Ibn Kathir mengatakan usia Saidatina Khadijah r.a. pada masa  kewafatannya, sebagaimana berikut: “Usia Saidatina Khadijah mencapai 65 tahun. Satu pendapat mengatakan beliau meninggal pada usia  50 tahun. Dan pendapat ini (iaitu  50 tahun)  adalah yang benar.” (al-Bidayah wan Nihayah, Jilid II, m/s 294)

Ulama Hadis dan  ahli sejarah bersetuju bahawa Saidatina Khadijah r.a. menjalani hidup sebagai isteri Rasulullah s.a.w.  selama 25 tahun dan beliau r.a. meninggal dunia pada tahun ke-10 Kerasulan. Hafiz Ibn Kathir berkata; ‘pendapat yang benar adalah usianya mencecah 50 tahun’  telah membuktikan bahawa usia Saidatina Khadijah pada masa perkahwinannya ialah  25 tahun. Dan juga, Hafiz Ibn Kathir juga telah membuktikan bahawa ‘maklumat’ yang diterima pada hari ini (iaitu umur Khadijah r.a. 40 semasa berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. )  adalah salah dan tidak benar sama sekali..

Meskipun dengan fakta yang sebegini jelas, kita masih  mempercayai (dan terperangkap) dalam berita yang lebih merupakan  khabar angin semata-mata.

Apabila kami mengkaji ‘Al-Bidayah wan-Nihayah’ yang ditulis oleh Ibn Kathir, barulah kami menyedari akan kesilapan kami. Semoga Allah yang Maha Kuasa mengampuni kami,  kerana kami adalah mangsa kepada suatu salah faham yang besar. Moga Allah yang Berkuasa mengurniakan kepada kita semua kefahaman akan Kebenaran.

Aamin! Ya Rabbal Aalamin

Tags: